Kerja-kerja Berkemahiran Yang Tak Perlukan Ijazah

Ramai yang mula tertekan dan terbeban dengan kehidupan sekarang. Ada sebahagian gaji yang dihabiskan untuk kos hidup semata-mata tanpa sempat membuat simpanan. Ada juga yang menjadi mangsa bulian bos dan dikerah keringat sehabisnya.

Jangan takut untuk memecat bos anda sekiranya anda mempunyai bakat, minat dan kemahiran yang boleh digunakan sebagai mata pencarian tanpa perlu bekerja makan gaji.

Ada orang yang sudah dianugerahkan bakat semulajadi (gifted) seperti melukis dan suara yang lunak, namun jika anda bukan seorang yang gifted, cuba cari kemahiran yang digemari dan dalami bidang tersebut.

Berikut kami cadangkan beberapa kemahiran yang boleh anda terokai untuk dijadikan kerjaya tanpa segulung ijazah.

1. Jurufoto

Banyak kelas dalam talian, video dan buku rujukan yang menyediakan panduan dan ilmu dalam bidang fotografi. Anda boleh belajar bagaimana menggunakan kamera, angle gambar dan teknik-teknik dalam bidang fotografi untuk menghasilkan bidikan yang menarik dan berkualiti. Cuba faham bagaimana dan bila penggunaan pencahayaan, ISO, dan lain-lain kaedah bidikan gambar.

Kreativiti sebagai jurufoto untuk mencari dan menghasilkan gambar yang berbeza berbanding jurufoto lain akan menjadikan karya anda diingati. Seiring dengan kepantasan laman sosial melibatkan isu tular, cubalah bidik satu gambar yang ‘rare’ atau unik, dan muat naik di laman sosial. Jika ia tular, secara tidak langsung nama anda juga akan popular. Ada jurufoto perkahwinan mampu menjana keuntungan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk satu sesi gambar perkahwinan.

Bayangkan, jika anda konsisten dapat lima atau enam pasangan pengantin dalam sebulan?

2. Memasak

Orang kata, belakang parang lagi diasah lagi tajam. Jika anda bukan seorang yang pandai memasak sekalipun, usah gusar kerana Mr. Google banyak terhidang aneka resipi dari pelbagai jenis masakan untuk dicuba. Jika anda rajin, cubalah resipi-resipi tersebut dan belajar dari kesilapan setiap kali anda memasak.

Lama-kelamaan pasti kemahiran memasak anda akan lebih baik. Anda boleh bermula dengan menjual makanan tengah hari atau nasi bajet. Pasti ramai yang mencari hidangan sebegitu apatah lagi jika harga berpatutan dengan rasa yang menyelerakan. Jika anda mampu menjual 50 bungkus nasi bajet dengan keuntungan purata RM1 atau RM2 sebungkus, lebih RM1,000 untung bersih dapat dijana tanpa perlu menggunakan 8 hingga 12 jam sehari.

3. Pereka Grafik

Apa perasaan anda apabila melihat kain rentang atau kad kahwin? Kebanyakannya dihasilkan menggunakan perisian Adobe Photoshop, Adobe Ilustrator, atau Adobe Indesign untuk menghasilkan rekaan tersebut. Jika rajin dan berminat untuk belajar dan meneroka perisian tersebut, anda boleh mengusahakan perniagaan atau sebagai freelancer mereka grafik kad perniagaan, kad kahwin dan pelbagai produk berasaskan grafik dan rekaan.

Sebagai contoh, untuk satu rekaan poster grafik iklan, anda boleh menerima bayaran sekurang-kurangnya RM100 untuk satu rekaan. Jika anda sudah mempunyai nama dan mempunyai kredibiliti, sudah pasti bayarannya lebih banyak. Cuba lhat contoh di bawah. Ada yang menerima upah bayaran dalam USD ($) yang pastinya lebih lumayan.

4. Pelukis

Berbekalkan bakat yang ada, anda tidak perlu bersusah-payah seperti mengasah dan menimba kemahiran lain. Hasilkan lukisan dan pasarkan karya anda di talian. Anda boleh melukis potret, lukisan abstrak atau mural berdasarkan kecenderungan anda. Jika anda boleh melukis gambar potret (charcoal) dengan bayaran RM20 atau lebih setiap satu, bayangkan jika anda menghasilkan lebih dari 10 potret sehari?

5. Penulis

Penulisan mempunyai banyak cabang dan tidak melibatkan teknikal. Anda boleh mendalami ilmu penulisan kreatif, penulisan iklan atau berita. Melalui penulisan, anda boleh menjadi content writer, penulis skrip atau novel malah penyunting. Bagi novel dan skrip, bayarannya mungkin berbeza mengikut karya dan juga syarikat penerbitan. Tapi, pastinya untuk setiap karya, anda boleh menerima bayaran sekurang-kurangnya 4 angka.

6. Pemandu Pelancong / Penterjemah

Jika anda mempunyai kemahiran lebih dari satu bahasa, gunakan kelebihan tersebut untuk menjadi pemandu pelancong. Anda juga boleh menjadi penterjemah. Kalau rasa mahu menambah kemahiran lagi, anda boleh belajar bahasa baru sebagai nilai tambah diri. Jika bekerja sendiri, anda yang menetapkan bayaran untuk perkhidmatan anda.

Meskipun mahal atau lebih tinggi berbanding orang lain, jika perkhidmatan terbaik diberikan, pasti anda lebih diutamakan.

7. Tukang Jahit

Anda tahu mengendalikan mesin jahit? Cuba cari kelas belajar menjahit (sekiranya berminat) dan mulakan kerjaya sebagai tukang jahit. Nampak biasa, tapi kos upah sepasang baju sudah makin mahal sekarang ini. Mahu atau tidak, pilihan di tangan anda. Untuk sepasang baju kurung, sekurang-kurangnya RM35 diperlukan.

Jika anda mampu menghasilkan lebih 50 pasang baju sebulan, lebih RM1,000 dapat dihasilkan.

8. Usahawan

Jika diikutkan, 7 senarai di atas melibatkan konsep keusahawanan. Ada yang menjual bakat, kemahiran, produk dan perkhidmatan. Sekiranya anda berminat mendalami bidang keusahawanan, cuba cari produk yang boleh pergi jauh dan sentiasa mendapat permintaan, iaitu tidak bersifat trend. Mahu lebih hebat, carilah produk yang lain dari yang lain. Dalami bidang pemasaran dan perniagaan untuk memantapkan pengurusan bisnes anda.

Tiada pendapatan tetap dalam perniagaan. Tapi ia boleh jadi lebih banyak dari gaji bulanan anda malah lebih kurang. Adat berniaga, ada untung dan rugi, bergantung kepada kesanggupan anda untuk menghadapinya.

9. Pelabur / Trader Saham

Pelabur atau pedagang saham juga merupakan sejenis perniagaan. Bezanya, tidak perlu menjual produk. Anda hanya perlu membeli saham dan meninjau pasaran saham. Menariknya, keuntungan dalam pasaran saham tidak ada had. Esok boleh untung 10%, lusa boleh untung lagi. Tapi anda kena berhati-hati kerana setiap perniagaan datang dengan risiko. Perlu ada ilmunya dahulu.

Kalau nak tahu bagaimana menangani risiko dan buat untung berganda, cuba hadiri kelas-kelas pelaburan saham yang menawarkan perkongsian ilmu teknik dan strategi pelaburan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *