Bahana bela anak lotong


Putrajaya: Comel dan jinak namun tindakan memelihara anak lotong (Trachypithecus cristatus) sebagai haiwan kesayangan boleh menyebabkan si pemilik didenda RM100,000 atau penjara lima tahun.

Terbaru seorang wanita berusia 20-an ditahan pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas didapati menyimpan seekor anak lotong.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pemeriksaan mengejut dilakukan sepasukan tujuh anggota Perhilitan di rumah wanita itu di Felda Bukit Tajau, Maran, Pahang jam 1 tengah hari semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di kediaman itu menemui seekor anak lotong yang masih hidup.


"Wanita itu gagal menunjukkan sebarang lesen atau permit sah dari Jabatan Perhilitan untuk menyimpan hidupan liar dilindungi itu.

"Susulan itu wanita terbabit ditahan sebelum di dibebaskan dengan seorang penjamin," katanya.

Kadir berkata, wanita itu yang disoal siasat mendakwa menemui anak lotong itu di tepi Jalan antara Maran ke Temerloh, Pahang.

"Dia mendakwa ada memohon lesen memelihara haiwan itu daripada Pejabat Perhilitan Pulau Pinang namun tidak diluluskan.

"Tindakan menyimpan haiwan liar belum matang itu boleh didakwa mengikut Seksyen 61, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih lima tahun," katanya.

Sebelum ini seorang operator kilang pernah didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, selepas mengaku bersalah menyimpan lotong cengkung, kucing batu dan musang pulut tanpa lesen.

Kadir berkata, seorang penyanyi wanita turut pernah diambil tindakan kerana menyimpan anak beruang matahari di kondominiumnya di Desa Pandan di sini, pada Jun 2019.

"Wanita itu tidak dapat mengemukakan sebarang dokumen pemilikan beruang itu dan turut dikenakan tindakan ikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya.

ANAK Lotong yang dirampas dari seorang wanita di Maran, Pahang.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->