About Me

header ads

Datanglah jenguk, peluk Haziq


KUALA LUMPUR – Hati ibu mana tidak luluh melihat anaknya yang dulu ceria dan aktif kini hanya mampu terbaring lesu selepas disahkan mengalami ketumbuhan otak sejak berusia tujuh tahun.

Sebagai seorang ibu yang setiap hari melihat kesakitan anaknya, doa Zuraida Majid tidak pernah putus agar Allah memberi keajaiban supaya anaknya, Khairul Haziq Dinzly Khairuddin, 10, diberi kesembuhan.

Ibu kepada lima orang anak ini sama sekali tidak menyangka anak ketiganya diuji dengan kesakitan ini.

" Haziq dilahirkan sihat dan hiperaktf. Allah beri saya peluang selama 7 tahun untuk merasai dan menikmati kebahagian bersama dia ketika dia sihat.

“Dia selalu bersama saya, susah senang selalunya kami berdua kerana kakak dan abangnya berada di asrama,” katanya yang pernah menjadi ibu tunggal sebelum berkahwin semula.

Berkongsi detik-detik anaknya jatuh sakit, Zuraida berkata, dia menerima panggilan daripada cikgu selepas dimaklumkan Haziq tidak sihat.

Hasil rawatan dan pertemuan dengan doktor pakar yang membuat pemeriksaan mata, Haziq dimaklumkan sudah 70 peratus hampir buta

”Masa saya dapat tahu, saya sedih betul. Saya tanya betul ke apa yang doktor cakap sebab Haziq tidak pernah ada tanda-tanda sakit.

“Petang itu juga Haziq menjalani ujian MRI dan doktor mengesahkan ada lapan tumor sebesar 7 sentimeter. Bukan satu tempat tetapi banyak tempat sampai ke saraf tunjang,” katanya sayu.

Kata Zuraida, selepas menerima pengesahan daripada doktor pada 17 Julai 2018, Haziq diramalkan hanya mempunyai jangka hayat enam bulan untuk hidup.

“Kata-kata doktor itu bagaikan satu tamparan, saya merasai kesakitan itu,” ujarnya.

Tanpa berfikir panjang, Zuraida pantas membuat keputusan berhenti kerja serta-merta.

Niat ibu ini hanya satu- mahu meluangkan masa bersama-sama Haziq.

“Saya mahu menjaganya sebaik mungkin. Saya mahu mengukir memori dengan Haziq selagi hayatnya,” ungkap Zuraida sayu sambil memandang wajah anaknya.

Namun, sepanjang tempoh itu, Zuraida mengakui dia tidak mampu melihat keadaan kesihatan Haziq yang semakin merosot.

Akibatnya, dia mengalami tekanan yang amat teruk sehingga terpaksa dirujuk kepada kaunselor.

Demi bangkitkan semangat sendiri dan kuat untuk Haziq, Zuraida mengambil keputusan bekerja semula.

“Ada yang bertanya kenapa saya tak boleh duduk rumah create memori dengan haziq?

”Sesungguhnya saya tidak mampu melalui kesedihan berpanjangan melihat penderitaan Haziq setiap hari. Saya melihat penderitaan dia sebagai dosa-dosa saya.

”Dari boleh berjalan, berlari, dia sudah tidak mampu buat semua tu lagi. Dia kini terbaring lesu,” tambah Zuraida.

Biarpun sudah kembali bekerja namun Haziq sama sekali tidak dipinggirkan kerana anaknya dijaga rapi oleh pengasuh di rumah.

“Kebajikan dia sentiasa dalam pemantauan saya supaya Haziq selesa dan dalam keadaan terbaik,” katanya yang bersyukur kerana anaknya menerima bantuan sebanyak RM150 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Malah, dengan bekerja, Zuraida dapat menyediakan keperluan Haziq dengan sempurna.

Menurutnya, Haziq memerlukan RM2,000 sebulan untuk kos pembelian lampin pakai buang, ubat-ubatan dan kos rawatan.

Walaupun keadaan Haziq kian merosot namun anak itu tidak pernah menjalani pembedahan kerana tidak mahu mengambil sebarang risiko kecuali pembedahan bagi membuang ‘hydrocephalus’ atau air dalam otak yang membuatkan kepalanya semakin membengkak dan besar.

Ini kerana Haziq kerap mengalami serangan sawan di antara lapan atau 30 kali sehari menyebabkan dia mengalami kekejangan otot yang agak teruk.

Zuraida berkata, meskipun ada kalanya dia cukup sedih tetapi ujian Allah ini mengajarnya erti kekuatan, kesabaran dan keredhaan.

Malah, keadaan Haziq membuatkan diri dia semakin mendekati Yang Maha Esa.

Dalam situasi sekarang, Zuraida berkata, dia cuba memenuhi segala impian Haziq termasuk membawa anaknya menunaikan umrah.

Cuma satu harapannya agar anak ini dapat bertemu semula dengan ayah kandungnya yang terpisah sejak berusia satu tahun.

“Harapan saya satu saja, minta ayah kandung dia datang tengok Haziq. Ketepikan sejarah hitam kita demi Haziq.

”Tak perlu pun jumpa saya tapi datanglah tengok dia, peluklah dia.

“Sebagai ibu saya dapat rasakan Haziq seperti ada sesuatu yang mahu diluahkan tetapi masih belum terungkap,” katanya dalam tangisan.

Zuraida berkata, ayah Haziq yang berusia 44 tahun berasal dari Teluk Batu Lenggong, Perak mengetahui keadaan anak itu namun sehingga hari ini masih belum menjenguk.

Dalam pada itu, orang ramai yang mahu memberi sumbangan kepada anak ini boleh menyalurkanya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 1014 0411 0000 2073

- MalaysiaGazette

LAZADA 4.4

LAZADA RAMADHAN SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Tawaran 1 April - 15 Mei 2021

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->