Kerajaan akan ulangi langkah tahun lalu melalui moratorium dan i-Sinar


Kuala Lumpur: Kementerian Kewangan telah mengadakan perbincangan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperincikan bantuan moratorium dan i-Sinar.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah berkenaan mengingatkannya peristiwa tahun lalu di mana pertama kali dalam sejarah kerajaan memperkenalkan pengeluaran KWSP di bawah skim i-Lestari dan i-Sinar selain pemberian moratorium automatik untuk membantu rakyat hadapi cabaran Covid-19.

"Kita adalah antara negara terawal di dunia memperkenalkan inisiatif sebegini. Pada mulanya digasak oleh suara-suara yang membangkang. Kemudiannya, ada di kalangan mereka yang sedar kesan positif pada rakyat dan mula menyokong program ini. Alhamdulillah mereka sedar," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Menurutnya, dengan Pelan Pemulihan Negara, inilah masa yang tepat untuk mengembalikan inisiatif sebegini bagi membantu rakyat dan perniagaan.

"Kerajaan tidak pernah putus-putus membantu rakyat dan sentiasa berusaha memikir solusi bersama," katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, kerajaan akan mengumumkan bantuan yang lebih komprehensif di bawah Fasa (Pertama) Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi semua kumpulan masyarakat, sama ada esok atau pada Selasa.

Pengumuman perincian bantuan itu merangkumi sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Katanya, kerajaan sentiasa berusaha memastikan kira-kira 12 juta individu atau isi rumah di negara ini yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19 menerima bantuan dan sokongan sewajarnya dalam mendepani saat-saat yang sukar ketika ini.

"Kita faham bila di fasa begini (fasa pertama PKP 3.0) dan seterusnya sampai ke akhir tahun, semua tunggu apakah kerajaan akan tolong kumpulan yang terkesan? Kumpulan B40 dan M40 dah tentu (dibantu) termasuk dalam pemberian moratorium, kumpulan T20 juga ada (yang layak)," katanya ketika meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid hari ini.

Perdana Menteri berkata, bantuan yang akan diumumkan kali ini akan mengambil kira keperluan semua kumpulan yang terjejas wabak Covid-19, secara lebih komprehensif jika dibandingkan sebelum ini.

Ketika ini pemberian moratorium hanya diberikan kepada peminjam yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan.

Ia tidak hanya terhad kepada kumpulan B40, sebaliknya mereka dari kumpulan M40 atau T20 yang kehilangan pekerjaan juga boleh mengemukakan permohonan.

Mereka juga diberi pilihan untuk mengurangkan bayaran balik ansuran pinjaman sebanyak 50 peratus.

Bagi pengeluaran i-Sinar pula, mulai 8 Mac lalu, ahli KWSP berusia kurang 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran wang dari Akaun 1 dan mempunyai baki simpanan di dalam Akaun 1 sekurang-kurangnya RM150.

Di bawah syarat baharu ini, kriteria pengurangan pendapatan tidak lagi terpakai untuk permohonan i-Sinar.

Malah, tidak ada sebarang dokumen sokongan perlu dikemukakan dan permohonan akan diproses berdasarkan kelayakan.

Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

Pembayaran dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

Manakala, bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000, mereka boleh membuat pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1 mereka.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->