Moratorium, i-Citra gembirakan peniaga emas


PETALING JAYA – Pemilik kedai emas di seluruh negara sudah tidak sabar untuk beroperasi semula selepas kerajaan mengumumkan pengeluaran i-Citra bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium kelmarin.

Rata-rata peniaga emas optimis sebilangan orang ramai akan membe­lanjakan wang simpanan hari tua mereka untuk membeli emas sebagai pelaburan.

Ketika ini, kedai emas di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sejak 1 Jun lalu.

Pemilik rangkaian kedai emas di Kota Bharu, Murtadhatumizi Mustapha, 27, berkata, pengumuman kerajaan memberi kelegaan kepadanya dan berharap stok 1,000 jenis barang kemas bernilai RM15 juta di lima cawangan kedainya dapat dijual selepas sektor itu dibenarkan bero­perasi semula.

“Semua kedai emas kena tutup menyebabkan stok (emas) tidak dapat dijual seperti biasa. Sebagai peniaga emas, sudah pasti saya bersyukur apabila kerajaan mengumumkan pengeluaran i-Citra dan moratorium.

“Ini berdasarkan pengalaman tahun lalu apabila orang ramai berbelanja wang membeli emas selepas kerajaan mengumumkan moratorium dan pengeluaran i-Sinar,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Murtadhatumizi membe­ritahu, penutupan kedai emas menyebabkan pendapatan syarikat terjejas memandangkan gaji 53 pekerjanya perlu dilunaskan meskipun premis tidak bero­perasi.

“Jadi saya jangka pengumuman moratorium dan i-Citra kali ini akan merancakkan kembali perniagaan kami,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merayu kepada kerajaan agar membenarkan kedai emas dibuka dalam masa terdekat kerana kes jangkitan Covid-19 di Kelantan sudah mula menurun.

Di Selangor, Pengarah Urusan Emas SY Fawwaz di Bangi, Suhaida Yusoff berkata, mengikut trend pada tahun lalu, orang ramai dilihat lebih gemar menggunakan wang untuk membeli emas yang dianggap sebagai pelaburan yang menguntungkan.

“Sebelum ini, ramai yang berpusu-pusu membuat pembelian emas selepas PKP 1.0 dan 2.0 dilonggarkan. Mereka menjadikan emas sebagai simpanan saat kecemasan. Golongan muda juga semakin ramai melabur membeli emas,” katanya.

Suhaida memberitahu, proses pembelian emas kini semakin mudah dengan adanya platform e-dagang.

Di Terengganu, pengusaha emas, Zakaria Yusof melahirkan rasa teruja dengan pengumuman kerajaan dan menjangkakan pemohon i-Citra akan menggunakan wang simpanan mereka untuk membeli emas yang digunakan di waktu kecemasan.

Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan situasi selepas KWSP membenarkan ahli-ahlinya membuat pengeluaran menerusi i-Sinar pada Januari lalu yang menyaksikan jualan emas melonjak lebih 20 peratus.

“Kami jangka orang ramai akan mempunyai lebih kuasa membeli berikutan pengumuman pengeluaran i-Citra serta moratorium.

“Kebanyakannya pemohon i-Citra akan memilih untuk membeli emas seperti yang berlaku ketika pengeluaran i-Sinar sebelum ini,” katanya.

Jelas Zakaria, pelaburan emas dianggap berbaloi terutama dalam keadaan yang tidak menentu di musim pandemik Co­vid-19 ketika ini.

“Pengalaman menempuh pandemik yang sudah berlarutan sejak lebih setahun lalu membuat ramai dalam kalangan kita yang sudah teliti dan pandai merancang kewangan.

“Saya rasa orang ramai akan mengelak pembaziran dan memilih emas untuk pelaburan,” katanya.

-K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->