Nelayan maut terkena renjatan elektrik


LUMUT – Seorang nelayan warga Thailand maut selepas parah terkena renjatan elektrik dalam bot nelayan tempatan yang keluar menangkap ikan di perairan Lumut awal pagi tadi.

Mangsa berusia 54 tahun yang melecur separuh badan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seri Manjung (HSM) kira-kira pukul 6 pagi tadi.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menerima laporan seorang awak-awak dilaporkan mengalami kecederaan serius ketika berada di atas bot nelayan tempatan pukul 1.27 pagi.

Jelasnya, ketika kejadian bot itu dikesan berada pada kedudukan kira-kira 26.8 batu nautika barat laut Pulau Pangkor.

“Berikutan itu, Kapal Maritim (KM) Gagah dikerahkan ke titik koordinat kecemasan tersebut bagi melaksanakan pemindahan dan bantuan perubatan kepada mangsa.

“Pada masa sama, pihak HSM turut dimaklumkan bagi memberikan bantuan kecemasan dan perubatan terhadap mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, operasi menyelamat juga diaktifkan oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi pukul 1.40 pagi.

Jelas beliau, setibanya KM Gagah di lokasi sekitar pukul 2.30 pagi, mangsa dipindahkan dari bot nelayan tersebut seterusnya dibawa ke jeti Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kampung Acheh sebelum dikejarkan ke HSM.

Menurutnya, hasil maklumat di lokasi kejadian dilaporkan berpunca daripada renjatan elektrik di atas bot dan mangsa juga berada dalam keadaan separuh sedar ketika itu sebelum disahkan meninggal dunia semasa dirawat di HSM.

- K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->