Suami kejam direman 6 hari


JOHOR BAHRU – Suspek utama yang disyaki terlibat dalam kejadian pukul hingga parah seorang pegawai wanita dalam kejadian 4 Mei lalu direman selama enam hari.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan reman bermula hari ini sehingga 17 Jun depan.

Menurutnya, peniaga pakaian itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

“Suspek ditahan semalam kira-kira pukul 11 pagi di tepi jalan kawasan Taman Bukit Angsana, Kuala Lumpur.

“Suspek direman selama enam hari bermula 12 Jun hingga 17 Jun 2021 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Padzli berkata, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Kosmo! pada 17 Mei lalu melaporkan seorang kakitangan awam sebuah jabatan kerajaan di negeri Johor terpaksa bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini selepas dipercayai dibelasah suaminya sendiri dalam kejadian pada 4 Mei lalu.

Mangsa yang berusia 43 tahun yang sedang hamil empat minggu ketika kejadian dilaporkan kritikal apabila mengalami kecederaan parah dengan tengkorak kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipercayai dipukul.

Kejadian dipercayai berlaku di sebuah pangsapuri di Larkin di sini.

- K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->