Berat hati pulangkan ubat arwah suami


Bangi: Bukan tidak reda dengan ketentuan Ilahi, namun mahu jadikan kenangan yang menyebabkan Noorazrina Arshad menyimpan bekalan ubat milik arwah suaminya, Mohd Rizal Samsudin yang meninggal dunia akibat Sindrom Koroner Akut pada 31 Mei lalu.

Bagaimanpun, wanita berusia 41 tahun itu terpaksa juga mengembalikan ubat berkenaan kepada Hospital Serdang, semalam.

Tidak mudah katanya, tetapi dia mengumpul kekuatan untuk melakukan demikian dan berkongsi video yang menunjukkan kotak dan plastik bekalan ubat itu untuk disimpan sebagai kenangan.

Perkongsian di aplikasi TikTok itu menyentuh hati netizen yang rata-ratanya sebak dan memberi kata semangat buatnya di ruangan komen.

Guru subjek Sains dan Sejarah itu berkata, dia sudah lama menerima pemergian suaminya walaupun hanya dapat bersama selama 19 tahun saja.

"Perasaan sedih tetap ada terutama apabila melihat barangan peninggalannya termasuk bekalan ubat berkenaan.

"Ia kerana saya yang memberi dan menemani arwah makan ubat setiap hari jadi banyak kenangan dengannya.

"Selepas pemergiannya, saya tidak dapat lagi melakukan rutin itu dan semalam, saya ambil keputusan kemas dan kumpulkan semua ubat itu untuk diserahkan semula kepada hospital," katanya ketika dihubungi Harian Metro

Bercerita lanjut, Noorazrina berkata, suaminya mula mendapat rawatan dialisis buah pinggang sejak November 2019.

Katanya, disebabkan ada ketumbuhan, doktor mengambil keputusan membuang kedua-dua buah pinggang suaminya ketika pembedahan pada 23 Januari tahun lalu.

"Arwah suami saya selamat menjalani pembedahan tetapi terpaksa hidup tanpa kedua-dua buah pinggang selepas itu.

"Ramai tidak percaya arwah suami hidup tanpa buah pinggang namun dia mampu bertahan dengan izin Allah.

"Keadaannya stabil sehingga mengalami aneurisme yang menyebabkan pendarahan pada otak dan akhirnya meninggal dunia selepas tiga minggu dimasukkan ke wad Hospital Serdang," katanya.

Noorazrina terharu kerana ramai memberi kata semangat buatnya selepas video dimuat naiknya tular di laman sosial.

"Alhamdulillah, ramai beri kata semangat dan mahu saya kuat menghadapi ujian sebagai ibu tunggal.

"Saya hargai dan berharap video itu dapat perkongsian saya dapat memberi inspirasi kepada ibu tunggal mahupun di luar sana yang turut kehilangan suami atau insan tercinta," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->