About Me

Carikan madu untuk suami


Kuala Lumpur: Sebut saja mengenai poligami pasti membuatkan kaum hawa jadi tidak keruan. Perkataan itu membuatkan mereka paranoid kerana enggan berkongsi kasih hingga timbul tanggapan negatif mengenainya, walaupun poligami adalah syariat Islam.

Lebih menyedihkan apabila ada wanita sanggup memilih untuk bercerai daripada hidup berpoligami biarpun sudah membina mahligai sejak berpuluh tahun lamanya.

Bagaimanapun, ada juga wanita yang terbuka untuk berpoligami, malah turut menjadi 'ejen cari jodoh' buat suami mereka di laman sosial.

Lebih mengagumkan apabila ada antara mereka yang boleh tinggal sebumbung dengan madu dan hidup bahagia dengan suami tercinta.


Ikuti kisah hidup sebahagian mereka sebagaimana yang diceritakan kepada wartawan Sri Ayu Kartika Amri dan Redzuan Muharam.

KISAH 1

Kajang: Hubungan poligami mungkin ditakuti kebanyakan wanita dan alasan lazimnya adalah kerana enggan berkongsi kasih namun tidak bagi ibu kepada sembilan anak, Sumaiyah Sulaiman.

Buktinya, Sumaiyah, 47, dari Sungai Ramal Luar, di sini, dengan rela hati merisik wanita yang juga rakan baiknya, Siti Nor Jaffar, 47, menjadi isteri kedua buat suaminya, Abd Rashid Zainal, 46, 15 tahun lalu.

Menurut Sumaiyah, suaminya tidak pernah meluahkan hasrat untuk berkahwin lagi, malah mereka bahagia dengan adanya empat zuriat ketika itu, tetapi dia sendiri mahu merasai pengalaman hidup berpoligami.

"Niat untuk menjalani hubungan poligami sudah lama ada kerana ia dalam syariat, jadi mustahil Allah menghalalkan sesuatu yang memudaratkan.

"Jadi, saya luahkan hasrat itu kepada suami dan dia tidak keberatan cuma minta saya yang carikan (isteri) untuknya.

"Ikutkan tiada calon, tetapi kebetulan teringat Siti Nor yang juga rakan baik sekuliah ketika menuntut di Jordan jadi cuba menghubunginya bagi memberitahu hasrat saya sebelum mengajaknya ke rumah untuk berkenalan dengan suami," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sumaiyah berkata, proses perkenalan berjalan lancar, tetapi keluarga terutama daripada sebelah suami terkejut dengan tindakannya, namun dia cuba menerangkan kepada mereka alasannya berbuat demikian.

"Keluarga agak terperanjat dan ada yang risau dengan nasib saya jika suami berkahwin lagi.

"Bagaimanapun, saya cuba yakinkan keluarga dengan beritahu madu seorang yang baik dan akhirnya mereka dapat menerimanya.

"Saya ada empat anak ketika itu dan ada beritahu mereka yang babah (panggilan anak kepada suami) akan berkahwin lagi dan mendapat ibu baharu. Alhamdulillah, mereka faham walaupun masih kecil ketika itu," katanya.

Menurut Sumaiyah, dia dan Siti Nor mulanya tinggal berasingan sebelum duduk bersama dua tahun selepas berkahwin dengan suami.

Sumaiyah mengakui mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan selepas suaminya menikahi Siti Nor, namun hanya untuk seketika dan bukan dalam tempoh lama.

"Ilmu yang ada sedikit dan kami bertiga pula tiada pengalaman jadi hanya tahu apa erti sebenar poligami selepas melaluinya.

"Biasalah, apabila kita melakukan perkara baik dengan niat kerana Allah, ujiannya lebih kuat tetapi saya cuba tetapkan pendirian dan terima hakikat untuk berkongsi kasih serta berdamai dengan takdir.

"Salah faham dalam hubungan itu memang ada dalam perhubungan tetapi tidak lama kerana saya dan madu lebih suka bertolak ansur tanpa terlalu berkira soal penggiliran," katanya yang mengakui akrab dengan madunya.

Menurut Sumaiyah, memang ada yang mencemuh Siti Nor pada peringkat awal kerana mereka beranggapan madunya itu menjadi orang ketiga dalam hubungannya dengan suami.

Selepas mengetahui kisah sebenar, individu berkenaan tampil memohon maaf dan kini tiada lagi kata-kata negatif diterima daripada insan sekeliling.

- HMetro 
header ads
LAZADA 9.9

LAZADA 9.9E

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->