About Me

header ads

Hamdan Karipuley sudah tiada...


Puchong: Tiada lagi keletah manja dapat dilihat namun yang tinggal hanya gambar dan video sebagai kenangan selepas Hamdan Karipuley, salah seekor kucing popular di laman sosial, menemui ajalnya pagi tadi.

Pemergian kucing yang mempunyai lebih 148,000 pengikut di Facebook (Fb) adalah kehilangan besar buat pemiliknya Fadzura Fadzir, 31, yang memelihara haiwan itu sejak enam tahun lalu.

Bagi Fadzura, haiwan itu bukan hanya peneman dan penyeri buatnya tetapi juga pembawa rezeki serta sudah dianggap sebahagian daripada keluarganya.

"Setiap kali makan, Hamdan ada bersama dan bangun tidur pula, saya akan melihat wajahnya dulu.

"Kiranya, saya anggap Hamdan seperti anak sendiri dan sedihnya kerana Hamdan pergi sewaktu saya hamil serta menanti kelahiran cahaya mata sulung," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Fadzura yang menetap di Taman Puchong Prima, di sini berkata, dia menyedari kematian kucing kesayangannya itu ketika memeriksa sangkar haiwan berkenaan pada jam 9 pagi.


Fadzura berkata, Hamdan berusia sembilan tahun dan mati dipercayai akibat penyakit Feline Infectious Peritonitis (FIP) yang menyerangnya secara tiba-tiba pada pertengahan bulan lalu.

"Hamdan asalnya adalah kucing jalanan yang saya pelihara sejak 2015 dan tidak pernah sakit kecuali selepas jatuh balkoni pada 2019.

"Kiranya, Hamdan kucing yang aktif tetapi menunjukkan perubahan ketara pada pertengahan bulan lalu apabila tidak berselera makan.

"Risau dengan keadaannya, saya bawa Hamdan ke dua klinik veterinar untuk pemeriksaan dan doktor mengesahkan ia menghidap FIP hasil ujian darah dijalankan.

"Doktor beritahu Hamdan ada masa dua hingga enam bulan untuk hidup bergantung kepada kekuatan antibodinya," katanya.

Fadzura yang bekerja sebagai penyunting video bebas di stesen televisyen berkata, penyakit itu menyebabkannya terpaksa meninggalkan Hamdan selama tiga hari di klinik veterinar baru-baru ini.

Katanya, Hamdan bagaimanapun tidak menunjukkan perubahan sebaik dibawa pulang ke rumah tiga hari lalu.

"Sejak hari pertama dibawa pulang sehingga semalam, Hamdan kelihatan tidak berselera untuk makan dan minum.

"Malam tadi, keadaannya nampak kritikal dan pagi tadi, saya periksa sangkar serta dapati Hamdan sudah tidak bernyawa," katanya.

Biarpun sedih, Fadzura bersyukur kerana diberi kesempatan memelihara Hamdan.

Dia turut berterima kasih kepada semua pengikut yang pernah memberi sumbangan bagi menampung perbelanjaan Hamdan.

"Terima kasih kepada semua pengikut terutama terutama Puan Vasantha atau saya gelarkan 'Amma' kerana membantu menampung perbelanjaan Hamdan sehingga ditanam jam 1 tengah hari tadi tanah lapang dekat hadapan pangsapuri saya.

"Saya hargai bantuan semua malah terharu kerana ramai hubungi dan menghantar kiriman WhatsApp sejak semalam bagi mengetahui keadaan Hamdan.

"Ikutkan memang sedih namun saya tidak pernah ralat, kesal atau berasa rugi berbelanja untuk keperluan Hamdan selama hayatnya," katanya.

Selain Hamdan, Fadzura turut memelihara dua ekor kucing lagi yang diberi nama Tupai dan Kecik Woi.

Tupai bagaimanapun sudah mati pada tahun lalu selepas muntah dengan tiba-tiba dan hanya tinggal Kecik Woi yang berusia lima tahun.

Kisah Fadzura dan Hamdan pernah disiarkan di akhbar Harian Metro pada 6 Februari 2016.

- HMetro 

header ads
LAZADA 4.4

LAZADA RAMADHAN SALE

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Tawaran 1 April - 15 Mei 2021

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->