Murid tahun lima maut disengat tebuan


Dungun: Seorang murid tahun lima maut disengat tebuan dalam kejadian di rumahnya di Kampung Minda, di sini, 2 petang hari ini.

Mangsa, Mohammad Rayyan Fitri Mohd Nazuki disahkan maut ketika menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Bukit Besi pada 2.30 petang.

Sebelum kejadian, mangsa bersama kakaknya, Khalis Najwa, 13, berada di dalam sebuah bilik dan sedang bermain telefon bimbit.

Kakak mangsa dikatakan melihat seekor tebuan memasuki bilik mereka sebelum hinggap di atas tangan kanan adiknya itu.


Mangsa yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu dikatakan menjerit sebaik disengat tebuan terbabit sebelum dibawa bapanya ke Klinik Kesihatan Bukit Besi.

Sementara itu, bapa mangsa Mohd Nazuki Mat Jusof, 42, berkata, sebaik pulang ke rumah dari mengerjakan solat Jumaat, anak perempuannya itu memaklumkan adiknya disengat tebuan.

"Ketika kejadian, isteri saya, Wan Suraya Wan Sudin, 40, berniaga di kedai runcit sebelah rumah dan sebaik sampai ke rumah, saya dapati arwah (mangsa) keluar dari bilik menuju ke bilik mandi dan dia sempat memberitahu dia sakit dan seluruh badannya terasa panas.

"Saya mengiringinya dan sebaik sampai di bilik air, dia rebah sebelum saya sempat menyambutnya dan ketika itu, dia sudah tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, malam ini.

Menurutnya, dia yang dalam keadaan panik segera mengejarkan anaknya itu ke klinik kesihatan berhampiran dan setengah jam selepas itu dimaklumkan anaknya itu gagal diselamatkan.

Katanya, dia tidak tahu bagaimana tebuan itu masuk ke dalam bilik sedangkan bilik anaknya tidak mempunyai tingkap dan sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian tebuan masuk ke rumah.

"Dalam kejadian tahun lalu, anak bongsu saya, Darwisy Ihsan, 7, turut disengat tiga tebuan ketika bermain berhampiran rumah.

"Apapun saya reda dengan apa yang berlaku dan saya sangat terkejut kerana dengan hanya satu sengatan, Rayyan boleh meninggal dunia.

"Dia (arwah) tidak menunjukkan perbuatan pelik, sebaliknya dua tiga hari ini dia sangat patuh dengan arahan saya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->