About Me

Pemuda malu terima bantuan


Kuantan: Disebabkan malu untuk menagih bantuan bagi menyara keluarga selepas dibuang kerja, seorang pemuda sanggup menumpang pondok usang terletak dalam kebun pisang bersama keluarganya.

Kes berkenaan didedahkan oleh Setiausaha Kehormat Sekretariat Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang (MAKPEN)Salamon Ali Rizal Abdul Rahman yang berpeluang bertemu pemuda berkenaan untuk melihat keadaan sebenar.

Katanya, lelaki terbabit yang sebelum ini bekerja dengan syarikat swasta sebagai pelukis pelan menghubunginya semata-mata untuk meminjam wang sebanyak RM100 untuk kegunaan sekeluarga.

Menurutnya, apabila ditanya kisah sebenar pemuda berkenaan menceritakan kesusahan yang dihadapi selepas terputus sumber pendapatan kerana tidak berkerja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pemuda berumur 30an itu menumpang pondok dalam kebun pisang di sini bersama anaknya berumur dua tahun serta isterinya yang sedang mengandung anak kedua.

"Selepas diberhentikan kerja pemuda berkenaan bersama isterinya menjalankan perniagaan menjual kuih namun berikutan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 3.0 mereka tidak dapat meneruskan berniaga.

"Sebagai ketua keluarga pemuda berkenaan dan isterinya reda apabila terpaksa berpindah ke pondok dalam kebun pisang selepas tidak dapat menjelaskan sewa rumah," katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika dia bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman bertemu pemuda berkenaan di pondoknya beberapa kali dia menyatakan rasa malu kerana seolah menagih simpati dan mengharapkan bantuan.

Salamon Ali Rizal berkata, pemuda terbabit mendakwa tidak sepatutnya dia menerima bantuan kerana dia dalam keadaan sihat dan masih boleh bekerja cuma tidak ada kerja yang sesuai untuknya.

"Pemuda berkenaan berharap ada pekerjaan yang sesuai untuknya suatu hari nanti. Dia memiliki kelulusan diploma kejuruteraan," katanya yang menyampaikan bantuan keperluan asas.

Sementara itu, Asmadi berkata, pihaknya menyediakan bantuan segera berupa wang tunai RM800 kepada keluarga pemuda berkenaan untuknya memulakan hidup baharu.

"Kita akan membantu menyelesaikan bayaran tunggakan rumah sewanya serta beberapa hutang lain, bantuan kewangan termasuk bayaran sewa rumah akan diberikan selama enam bulan.

"Bantuan berkenaan diharap dapat memberi sinar baharu kepada pemuda berkenaan untuk memulakan kehidupan lebih baik selain berpeluang mendapat pekerjaan yang sesuai," katanya.

- HMetro 
header ads
LAZADA 9.9

LAZADA 9.9E

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->