Rumah Bonda disita, hilang hak jagaan


Kuala Lumpur: Rumah Bonda dilucut hak penjagaan ke atas enam kanak-kanak termasuk Bella, melalui perintah mahkamah yang dikeluarkan 5 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh berkata, semua kanak-kanak itu kini diberi penempatan sewajarnya di bawah pusat kebajikan kendalian JKM.

"Pelindung Unit Kanak-Kanak sudah mengambil tindakan terhadap enam kanak-kanak dengan mengeluarkan mereka daripada rumah kebajikan kendalian wanita bujang berusia 28 tahun itu.

"Bella yang disyaki didera ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah, Seremban, Negeri Sembilan, manakala tiga kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun berada di Rumah Kanak-Kanak (RKK) di Kuala Kangsar, Perak.

"Selain itu, seorang bayi berusia 15 bulan diserahkan kepada pihak layak yang dikenal pasti oleh Bahagian Kanak-Kanak, manakala seorang remaja 17 tahun kini berada di RKK Rembau," katanya ketika ditemui di Rumah Bonda di sini, hari ini.

Che Samsuzuki berkata, siasatan mendapati hanya Bella yang berusia 13 tahun mempunyai kesan dera, manakala lima kanak-kanak lain tiada sebarang tanda.

Ditanya penyebab Bella didera, katanya, wanita itu dalam pengakuannya kepada JKM mendakwa Bella yang menghidap Sindrom Down sukar mendengar kata dan degil.

"Dia mendakwa Bella kerap mengacau adik yang lain dan kesan parut pada tangan kanak-kanak itu akibat tumpahan air panas, selain Bella didakwa akan mengopek keruping luka dan menyebabkan ia sukar sembuh," katanya.

Jelasnya, keraguan timbul apabila pengurusan rumah jagaan itu tidak membawa kanak-kanak terbabit ke hospital untuk rawatan.

"Menjawab itu wanita berkenaan dakwa dia bimbang dituduh mendera jika membawa Bella ke hospital. Bagaimanapun, kita sudah serahkan kes ini kepada polis untuk siasatan lanjut berikutan terdapat kesan luka lama dan baharu," katanya.

Menurutnya, Rumah Bonda yang terletak di Jalan Kukuban, di sini juga dikenakan tindakan sita, hari ini selepas didapati beroperasi secara haram sejak 2019 dan tidak berdaftar dengan JKM.

"Tindakan lak (sita) dilakukan selepas kita menyerahkan notis pemberitahuan pada Jumaat lalu mengikut Seksyen 16A(1) Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) dan membuka kertas siasatan," katanya.

Berhubung penghuni lain di rumah berkenaan, beliau berkata, pihaknya berbincang urusan penempatan 19 wanita mengandung berusia 18 hingga 33 tahun yang berlindung di situ.

Katanya, pilihan pertama adalah mengembalikan mereka kepada keluarga atau saudara mara masing-masing.

"Jika pihak keluarga tidak terima, kita menyediakan Rumah Sinar Kasih di Batu Gajah, Perak," katanya yang memberitahu ada sebahagian penghuni itu memutuskan mahu pulang ke pangkuan keluarga, manakala selebihnya mahu berlindung di pusat kebajikan sekitar Lembah Klang.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali dengan nama Bella dipercayai didera di sebuah pusat kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu kota.

Kisah menyayat hati ini mendapat perhatian seluruh rakyat Malaysia yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib Bella dan mewujudkan tanda pagar #justiceforBella di media sosial.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->