Temani ibu sehingga akhir nyawa


Petaling Jaya: Menemani ibu sehingga akhir nyawa. Begitulah kasih sayang ditunjukkan anak kecil terhadap ibunya yang menderita sakit sebelum meninggal dunia di rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, di sini, semalam.

Lebih menyayat hati, kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu cuba membantu meringankan kesakitan dialami ibu sepanjang malam sebelum wanita itu 'tidur' buat selama-lamanya.

Kisah sedih itu dikongsi Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) Muhammad Rafieudin Zainal Rasid yang menguruskan jenazah wanita berusia 42 tahun terbabit.

Menurutnya, ibu kepada tujuh anak itu tinggal di dalam rumah agak daif dan serba kekurangan bersama tiga anak berusia lapan, 16 dan 20 tahun manakala anak lain tinggal bersama bekas suami di Klang, Selangor.

Katanya, dia menerima panggilan daripada salah seorang anak meminta bantuan SPJM untuk membantu menguruskan jenazah ibu yang meninggal dunia akibat kanser hati.

Dia bersama enam rakan SPJM ke rumah arwah untuk menguruskan jenazah pada 3 petang semalam.

"Saya menemui anak bongsu arwah yang petah menceritakan kejadian malam itu (Khamis). Dia memberitahu menjaga ibunya yang sakit. Ibu menjerit sakit pada jam 3 pagi lalu mengurut tangan dan dada ibunya.

"Kakak berusia 16 tahun yang tidur di bilik berasingan turut mendengar jeritan ibu namun melihat adik sudah menemani ibu, dia masuk semula ke biliknya.

"Selepas itu, ibunya secara tiba-tiba muntah darah sebelum tidur. Melihat ibunya yang tidur, dia juga tidur bersama," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Rafieudin berkata, anak kecil itu tidak mengerti bahawa tidur ibunya itu adalah 'tidur' yang selama-lamanya.

Dia berkata, mendengar tangisan teresak-esak kanak-kanak itu membuatkan air matanya turut mengalir lalu memeluk dan cuba menenangkan anak itu.

Katanya, jenazah arwah dimandi dan dikafankan di dalam rumah yang terletak di tingkat 17 flat PPR itu disebabkan oleh keadaan pandemik ketika ini yang membataskan pergerakan di luar.

"Dua jiran arwah membantu menguruskan jenazah. Jiran arwah sangat baik, mereka antara yang sering membantu menghulurkan bantuan keperluan asas buat arwah dan anak-anaknya.

"Bekas suami juga turut sama membantu sehingga selesai urusan akhir. Selepas selesai menyempurnakan jasad arwah, kami beri peluang kepada anak arwah menatap wajah ibunya dan mencium buat kali terakhir.

"Anak kecil itu menangisi pemergian ibunya. Dia peluk ibunya sedang di tangan masih ada mainan kecil mungkin sekadar untuk mententeramkan diri sendiri," katanya.

Katanya, jenazah wanita terbabit selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara pada 5.30 petang semalam.

Disiarkan pada: July 16, 2021 @ 6:42pm
Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Gambar: Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia - SPJM 

- HarianMetro

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->