About Me

16 ubatan penyambung nyawa Adam


KULAI – Kehidupan seorang kanak-kanak bernama Adam Akhtar Mursyid Ahmad Ridzauddin, 9, tidak sama seperti kanak-kanak lain apabila mengalami kebocoran buah pinggang sejak tiga tahun yang lalu.

Ahmad Ridzauddin Abu Bakar, 42, berkata, anak tunggalnya itu terpaksa bergantung kepada 16 jenis ubat-ubatan bagi me­rawat komplikasi yang dihidapi­nya sejak 31 Ogos 2018.
Katanya, keadaan bertambah buruk apabila doktor mengesahkan fungsi buah pinggang Adam semakin merosot mulai November tahun lalu dan perlu memulakan rawatan hemodialisis air atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) pada 1 Februari lalu.

“Bagi proses rawatan itu, perut anak saya ditebuk bagi membolehkannya menjalani rawatan dialisis CAPD di rumah selama empat kali sehari.

“Kami hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya Adam diberikan kesembuhan dan bebas daripada penyakit ini,” kata­nya yang tinggal di Taman Scientex di Senai di sini baru-baru ini.

Ahmad Ridzauddin berkata, anaknya masih dirujuk kepada Doktor Pakar Buah Pinggang Kanak-kanak di Hospital Sultan Ismail (HSIJB), Johor Bahru dari semasa ke semasa.

Tambahnya, anaknya yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek Johor Bahru itu turut perlu dirujuk Pakar Neurologi di sebuah hospital swasta berikutan kerap mengalami sawan.

Bagaimanapun, dia dan isterinya, Rafidah Aziz, 46, sedikit lega apabila anaknya memahami apa yang dilaluinya serta dapat menerima rawatan CAPD dialisis setiap hari di rumah dan rawatan setiap minggu di hospital.

“Adam seorang yang kreatif, gemar meluangkan masa untuk melukis dan bermain lego. Walaupun kerap letih dan penat menjalani rawatan, masih semangat untuk meneroka dunia kreatifnya.

“Saya dan isteri sentiasa berusaha memberikan yang terbaik termasuk memastikannya selesa dan tidak tertekan kerana dikhuatiri ia boleh menjejaskan kesihatannya selain risiko di­serang sawan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Ahmad Ridzauddin di talian 016-735 7007.

- Kosmo 
header ads
LAZADA 9.9

LAZADA 9.9E

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->