About Me

Pisang & Lilin Jadi Kek Hari Jadi, Anak Tetap Gembira Meskipun Ibu Ayah Tidak Mampu


Apabila tibanya hari lahir anak, rata-rata ibu ayah pastinya akan membuat persiapan bagi meraikannya sama ada di rumah atau restoran. Namun tidak semua mampu untuk menyambut ulang tahun kelahiran ini dengan meriah, dilengkapi acara tiup lilin dan potong kek.

Meskipun begitu, ia bukanlah alasan untuk tidak menyambut hari jadi anak langsung. Ada ibu ayah ‘berusaha’ menggunakan apa yang ada di dapur bagi menggembirakan cahaya mata tercinta.

Sambut hari lahir anak dengan lilin dan buah pisang

Baru-baru ini telah tular video yang menyentuh hati ramai pengguna media sosial mempamerkan seorang kanak-kanak perempuan duduk di hadapan sebuah periuk yang dihiasi dengan buah pisang, limau dan sebatang lilin.

Jelas kedengaran ibu ayahnya gembira menyanyikan lagu hari lahir bersama-sama.

Keluarga yang serba kekurangan ini menyambut ulang tahun ke-3 kanak-kanak tersebut.

Menerusi posting di laman Instagram @warung jurnalis, video kanak-kanak berkenaan menyambut hari lahir telah dihantar oleh bapanya Abdul Manan bagi meminta warganet mendoakan kesejahteraan anak kecil tersebut.

Min minta doanya buat anak saya umur 3 tahun. Lepas hari ulang tahunnya, saya sudah tidak bekerja lagi. Minta semua beri ucapan dan titipkan doa buat adik ini agar sihat-sihat selalu dan ibu ayahnya segera dapat kerja.

Rakaman video dengan durasi 28 saat itu memaparkan Clarisa Putri Sabintang teruja untuk meniup lilin yang dikelilingi dengan perhiasan buah pisang dan limau.

Ia seolah-olah seperti sebuah kek istimewa yang diletakkan di atas periuk nasi sambil ibu ayahnya menyanyikan lagu ulang tahun kelahiran.

Netizen yang prihatin bawa kejutan hari lahir

Disebabkan video berkenaan, rata-rata warganet terharu melihat Clarisa yang tetap gembira meskipun tidak dibesarkan dalam suasana mewah seperti kanak-kanak yang lain. Mereka juga memberikan kata-kata semangat buat kedua ibu ayahnya.

Bukan itu sahaja, ada juga individu yang mahu mendapatkan maklumat mengenai keluarga itu dan berhasrat untuk membelikan hadiah serta menghulurkan sedikit bantuan.

Menerusi posting terbaharu, kanak-kanak tersebut telah menerima kejutan hari lahir yang istimewa daripada pihak yang prihatin selepas videonya tular dalam media sosial.

Dalam video tersebut, Clarisa disambut dalam satu majlis meriah dengan dekorasi pelbagai termasuklah kek hari lahir yang sebenar. Abdul Manan sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada team jurnalis yang telah berkongsi videonya sebelum ini.

”Clarisa berumur 3 tahun dan ini kali pertama puteri kecil saya disambut begitu istimewa seperti ini. Saya selaku ayahnya cuma dapat mengucapkan terima kasih banyak. Hanya Yang Maha Berkuasa sahaja dapat membalas segala kebaikan dan hadiah yang diberikan kepada Clarisa,” jelasnya.

Anak yang terbiasa hidup susah dapat belajar survival skill

Tidak dinafikan sejak dari lahir sehinggalah dewasa, ibu ayah akan berusaha menyediakan segala-gala yang terbaik buat anak-anak. Namun sedarkah anda bahawa ia boleh memberikan kesan buruk terhadap masa hadapan mereka?

Menurut perkongsian seorang bapa, Norizan Sharif, ada beberapa cara bagi memastikan anak-anak memiliki kemahiran untuk bertahan (survival skill) agar tidak menjadi insan yang lemah dan manja apabila berdepan dengan realiti kehidupan.

#1. Sekiranya kita sayang anak-anak, berikan mereka survival skills. Usah terlalu melindungi sehingga mereka kerap merungut apabila tidak dapat apa yang mereka mahukan

#2. Anak sulung saya tak dapat tamat belajar tadika kerana ibu ayahnya tidak mampu bayar yuran. Saya berhentikan dia. Ini kehidupan yang dia hadapi seawal prasekolah. Alhamdulillah kini berjaya mendapat ijazah dalam bidang Perakaunan

#3. Anak kedua saya bekerja sepenuh masa ketika dia buat ijazah. Siang kerja, malam pergi kuliah. Semua dia boleh bayar sendiri, tak buat pinjaman atau peroleh biasiswa dari mana-mana pihak

#4. Sama juga anak ketiga dan bongsu. Dia jual melalui atas talian dan tidak malu menjual susu kurma Farm Fresh di tepi jalan. Yang anak bongsu pula jalani kursus kejuruteraan kapal terbang. Cuti hujung minggu dia akan bekerja sambilan

Saya sebutkan ini untuk berikan contoh betapa kita kena latih dan dedahkan anak-anak dengan survival skill. Biarkan merekaa hidup susah agar lebih memahami kehidupan yang sebnar.

Meskipun kita adalah ibu ayah yang hebat, tidak boleh melindungi anak-anak sepanjang waktu. Akan sampai masa nyawa dijemput Ilahi.

Sumber: Borak Daily, Norizan Sharif

C/p - 

https://my.theasianparent.com/hari-lahir-anak
header ads
LAZADA 9.9

LAZADA 9.9E

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->