About Me

Segera bangkit sara empat anak


Kuala Lumpur: Berat tanggungjawab perlu digalas seorang balu, Rafeah Jaafar yang kini menjadi ibu dan ayah kepada empat anak selepas suaminya, Firdaus Bakti meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada 14 Julai lalu.

Menurut Rafeah, 40, suaminya yang berusia 39 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Zon Merah Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sebelum jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bangkong, Batu 5, Jalan Ipoh di sini.

Berkongsi kisah memilukan itu, Rafeah yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu, Gombak berkata, suaminya disahkan positif Covid-19 pada 8 Julai dan dimasukkan ke hospital pada 11 Julai.

"Arwah suami sedar dan tidak ditidurkan sepanjang berada di wad.


"Cuma, arwah tidak bertahan lama apabila meninggal dunia tiga hari selepas dimasukkan ke hospital.

"Ketika itu, saya tidak dapat pergi ke tanah perkuburan kerana sedang menjalani kuarantin, tetapi adik dan rakan arwah membantu menguruskan jenazah serta mengambil video untuk tatapan saya," katanya ketika ditemui selepas majlis menerima sumbangan Kotak Rezeki sempena Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Hijrah di Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Parlimen Batu, Yayasan Warisan Batu, Taman Bullion Mewah, Batu Muda di sini, baru-baru ini.

Sumbangan disampaikan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro yang juga Pengerusi TKHM Husain Jahit bersama wakil jenama Hijrah, Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan Kumpulan Etika Sdn Bhd Mohd Zurairi Mustafa.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur Che Samsuzuki Che Noh, wakil MPP Batu Datuk Yahya Mat Ghani, Pengarang Eksekutif Harian Metro Muhamad Safar Ahmad, Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz dan Pengurus Strategi Komunikasi dan Pemasaran NSTP Kamarul Aznam Kamarozaman.

Rafeah berkata, perasan sedih itu masih dirasai sehingga kini kerana kehilangan pasangan hidup yang menjadi sandarannya untuk bergantung harap selama ini.

Bagaimanapun, Rafeah enggan terus meratapi pemergian suami sebaliknya mahu segera bangkit bagi menyara empat anak berumur 11, 10, tujuh dan enam tahun.

"Tipu kalau saya katakan tidak sedih, tetapi yang pergi tetap pergi. Saya yang masih bernyawa ini perlu berikhtiar memikirkan bagaimana untuk besarkan anak kerana sebelum ini saya suri rumah, tetapi kini automatik menjadi ketua keluarga.

"Lagipun, saya bukan hanya perlu menjelaskan sewa bulanan rumah sebanyak RM124, tetapi juga perbelanjaan lain jadi perlu ada sumber pendapatan.

"Ada kemungkinan, saya akan berniaga cuma belum pasti apa yang akan dijual nanti," katanya.

Dalam pada itu, Rafeah berterima kasih di atas sumbangan Kotak Rezeki diberikan kepadanya.

"Syukur kerana terpilih sebagai penerima dan terima kasih saya ucapkan kepada Harian Metro serta semua penaja.

"Program TKHM ini adalah satu inisiatif yang baik dan wajar diteruskan kerana ramai sebenarnya masyarakat di bandar kurang berkemampuan serta semakin terkesan akibat pandemik," katanya.

Sumbangan Kotak Rezeki bernilai RM150 setiap satu itu adalah kolaborasi antara Harian Metro di bawah kempen Hijrah Bermula dari Hati menerusi program TKHM bersama Hijrah iaitu jenama susu krimer manis pilihan rakyat Malaysia yang dijamin halal.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan MPP yang membantu menyenaraikan penerima.

Setiap keluarga menerima satu Kotak Rezeki mengandungi barangan keperluan seperti susu krimer manis Hijrah dan Dairy Champ, beras, gula, minyak masak dan tepung.

Sebanyak 500 Kotak Rezeki bernilai RM75,000 diagihkan kepada golongan memerlukan di lima kawasan MPP di Mukim Batu, Lembah Pantai, Titiwangsa dan Wangsa Maju dalam usaha menyantuni golongan B40 di Lembah Klang yang menghadapi masalah sosio-ekonomi berikutan pandemik Covid-19.

Bantuan ceriakan hati penerima

Sumbangan Kotak Rezeki sempena Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Hijrah menceriakan penerima dari sekitar kawasan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Batu di sini, yang rata-ratanya terkesan akibat pandemik Covid-19.

Ibu dua anak Nur Hidayah Abdullah, 35, yang mendapat sumbangan berkenaan bersyukur kerana terpilih sebagai penerima.

Nur Hidayah turut berterima kasih atas sumbangan diberikan dan menganggap ia diberi tepat pada masanya bagi meringankan beban penerima yang sebahagiannya terputus mata pencarian.

"Suami saya (Rohaizat Mat Saad, 37) bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji bulanan RM1,200 manakala saya penasihat kecantikan meraih pendapatan RM1,000.

"Saya baru kembali bekerja dua bulan lalu kerana direhatkan sebelum ini berikutan penutupan bahagian produk kecantikan di premis jualan dalam sebuah pusat beli-belah.

"Selama tidak bekerja, saya dan anak bergantung sepenuhnya dengan suami. Ikutkan memang tidak cukup kerana suami perlu membayar komitmen sewa bulanan rumah sebanyak RM600 dan RM300 bagi ansuran motosikal, tetapi kami bersyukur kerana tidak sampai ke tahap perlu mengikat perut," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan Kotak Rezeki di MPP Parlimen Batu, Yayasan Warisan Batu, Taman Bullion Mewah, Batu Muda di sini.

Sementara itu, pesara tentera, Mohamad Elias Khalil, 57, yang menyewa dengan keluarga di Taman Melewar, Gombak menghargai sumbangan Kotak Rezeki.

Bapa tiga anak itu berkata, bantuan diberi kepada penerima adalah inisiatif yang baik membantu golongan terkesan akibat kehilangan kerja dan sebagainya dalam tempoh pandemik.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana terpilih sebagai penerima sumbangan.

"Ia amat bermanfaat dan bukti Harian Metro, pihak penaja prihatin serta lain-lain yang terbabit peka dengan masalah rakyat.

"Anak bongsu saya antara yang terkesan apabila hilang pekerjaan disebabkan pandemik jadi tiada apa boleh saya ucapkan selain terima kasih atas sumbangan diberi," katanya.

Sumbangan Kotak Rezeki bernilai RM150 setiap satu itu adalah inisiatif kolaborasi antara Harian Metro di bawah kempen Hijrah Bermula dari Hati menerusi program TKHM bersama Hijrah iaitu jenama susu krimer manis pilihan rakyat Malaysia yang dijamin halal.

- HMetro 
header ads
LAZADA 9.9

LAZADA 9.9E

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->