About Me

'Sumbangan RM1 boleh selamat nyawa Emma'


KUALA LUMPUR: Pelakon, Emma Akma, 52, yang kini menderita penyakit kanser perut sebak atas keprihatinan rakyat Malaysia berusaha membantunya walaupun hanya RM1.

Emma yang turut menderita ketumbuhan atau cyst sebesar saiz bola sepak dalam perut sejak dua bulan lalu memerlukan kira-kira RM50,000 bagi menampung kos rawatan dan pembedahan di hospital.

Sehingga kini, Emma berkongsi sudah berjaya mengutip RM21,000 hasil sumbangan rakan artis dan rakyat Malaysia selepas berita penderitaannya mendapat liputan media, baru-baru ini.

"Saya terharu, ada netizen sudi membantu walaupun menyumbang RM1.


"Kecil atau besar jumlah sumbangan amat dihargai. Bagi saya, RM1 tetap bernilai kerana ia mungkin mampu menyelamatkan nyawa saya.

"Ia sekali gus membuatkan saya lebih bersemangat melawan kesakitan yang ditanggung ini," katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Gerak Khas: The Finale itu berkata, dia menerima panggilan daripada Institut Kanser Negara (IKN) untuk menjalani pemeriksaan, esok (Khamis).

"Saya tidak mahu menunggu lebih lama untuk melakukan pemeriksaan, sekali gus membuang ketulan sebesar saiz bola sepak yang semakin membesar dalam perut.

"Tidak mengapalah saya gunakan terlebih dahulu sumbangan yang ada, ada rezeki berkemungkinan bertambah lagi.

"Saya bersyukur seandainya wang sumbangan ini cukup menampung kos pembedahan. Saya harap pembedahan dapat dilakukan dengan segera," katanya.

Emma atau nama sebenarnya, Noorakma Yunus berkata, meskipun perutnya semakin membesar, tetapi tetap menguatkan semangat untuk melalui ujian ini.

"Saya berdoa diberikan kesihatan baik bagi memudahkan proses pembedahan dengan wang sumbangan yang ada.

"Sekiranya ditangguh, ketumbuhan boleh pecah pada bila-bila masa dan membawa maut.

"Namun, saya reda jika umur tidak panjang. Suami dan anak-anak boleh menggunakan wang sumbangan ini untuk membayar hutang dan urusan pengebumian," katanya.

Pelakon yang mula diperkenalkan menerusi drama Tegak Tak Bertiang pada 2002 itu berkata, dia tidak tahu bagaimana mahu membalas jasa baik rakan artis dan rakyat Malaysia yang menghulurkan sumbangan.

"Saya mohon maaf dan minta halal sumbangan anda. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi baik.

"Doa saya selamat dan dipermudahkan urusan pembedahan," katanya.

Wanita kelahiran Kampung Gajah, Perak itu berkata, dia kini berdepan dengan masalah bank apabila akaun peribadi disekat.

"Saya sudah ke bank untuk cari jalan penyelesaian, pagi ini. Ada yang memaklumkan, mereka cuba memindahkan wang, tetapi transaksi ditendang.

"Saya berkemungkinan kena aktifkan semula akaun bank syarikat. Saya sudah bertanyakan beberapa bank dan ada yang mencadangkan saya membuat akaun baharu," katanya.

Semalam, Emma dikunjungi Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia, Tukiman Radion dan Norlydiawati Shahibullah di kediamannya di Selayang. Mereka menyumbangkan cek bernilai RM1,050.

Terdahulu, ibu kepada dua cahaya mata itu tampil membuat rayuan memohon bantuan orang ramai selepas buntu bukan sahaja terputus rezeki akibat pandemik COVID-19, malah tiada duit untuk melakukan pemeriksaan dan pembedahan.


- Berita Harian 

header ads
LAZADA 9.9

LAZADA 9.9E

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->