About Me

Suri rumah menangis didenda RM10,000


KUALA LUMPUR - Seorang suri rumah menangis selepas Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atas dua tuduhan menghasut dan membuat komunikasi jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong, menteri dan institusi Raja menerusi Twitter dalam kejadian tiga bulan lalu.

Nur Faizah Wahid, 28, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy pada Selasa.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 manakala pertuduhan kedua sebanyak RM8,000.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didapati mengeluarkan kenyataan melalui aplikasi Twitter di laman profil 'Eija Boo' dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan dikesan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di sini pada jam 8.33 malam, 22 Mei lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain dengan menggunakan aplikasi sama.

Ia telah dibaca pada jam 8 malam, 10 Jun lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman.

Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum setahun, atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamad mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran.

"Satu hukuman berbentuk pengajaran bukan sahaja untuk tertuduh, malah masyarakat lain yang mana menghina institusi Raja adalah satu kesalahan," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang hadir di mahkamah dengan memakai jubah dan tudung hitam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana menyesal dengan perbuatan tersebut.

"Sekarang saya tak kerja dan hanya bergantung kepada suami. Saya mengaku salah, menyesal dan insaf. Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut," katanya.

- SinarHarian 
header ads
LAZADA 9.9

LAZADA 9.9E

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->