4 anggota polis ditukar bahagian


Sepang: Empat anggota polis yang ditahan pada serbuan di sebuah pusat hiburan di Klang, Selangor pada 11 September lalu sudah ditukarkan untuk bertugas di bahagian lain.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, ia adalah prosedur biasa dan pertukaran itu dibuat sementara pihaknya menunggu laporan penuh siasatan kes berkaitan penyalahgunaan dadah membabitkan mereka.

"Anggota terbabit turut dikenakan tindakan tatatertib selain kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Bagi kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah, kita akan ambil tindakan selepas menerima keputusan laporan daripada pakar," katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan pematuhan SOP Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Pantai Bagan Lalang di sini, hari ini.


Turut hadir Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

Pada 12 September lalu, Harian Metro melaporkan, empat anggota polis yang bertugas di Selangor antara 35 individu ditahan pada serbuan di sebuah pusat hiburan di Klang.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad berkata, serbuan jam 2 pagi itu dilakukan pihaknya hasil laporan berlakunya aktiviti hiburan, pelacuran dan pengambilan dadah.

Ujian awal saringan air kencing mendapati, 19 individu, termasuk empat anggota berkenaan, positif dadah.

Dalam perkembangan lain, Arjunaidi turut menafikan dakwaan seorang wanita yang mendakwa terdapat kesan bengkak pada badan suaminya yang mati di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Banting Isnin lalu.

Menurut Arjunaidi, pihaknya sudah membuat pemeriksaan dan pihak berkaitan akan mengeluarkan laporan tentang perkara itu.

"Kami juga sudah membuka kertas siasatan berkaitan kejadian itu," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->