Anggota polis tidak mengaku bersalah terima rasuah RM700



Kuantan: Anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM700 bagi membebaskan seorang lelaki yang didapati memiliki air ketum, hujung tahun lalu.


Pengakuan Mohamed Syaffiq Mohamed Sidek, 32, yang berkhidmat di Bahagian Tugas Bit dan Patrol (Rondaan) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.


Dia didakwa menerima suapan itu antara 1 tengah hari dan 2 petang, 25 Disember lalu di tempat kerjanya daripada seorang lelaki yang dikatakan sebagai dorongan melepaskan rakannya yang ditahan kerana disyaki memiliki air ketum.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


Mohamad Syaffiq, yang tidak diwakili peguam merayu supaya jaminan RM10,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan dikurangkan kepada RM3,000 kerana mempunyai tempoh masa singkat untuk mengumpulkan wang selepas dimaklumkan SPRM untuk hadir ke mahkamah pada minggu lalu.


"Isteri saya yang bekerja sebagai jururawat akan menjadi penjamin. Saya mempunyai dua anak berusia tujuh dan tiga tahun selain menjaga ibu serta ayah.


"Saya mungkin digantung kerja selepas ini dan sukar untuk mencari pekerjaan baharu disebabkan Covid-19," katanya.


Ahmad Zamzani membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Siti Sarah Zainal Abiddin.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->