Ashraf Muslim reda pemergian ayah



Kuala Lumpur: Pelakon, Ashraf Muslim berkongsi video dia menguruskan jenazah bapanya, Allahyarham Muslim Bulat yang meninggal dunia pagi semalam akibat jangkitan Covid-19.


Dalam hantarannya di Instagram, dia berkongsi perasaan redanya di atas pemergian bapanya itu.


"Semalam, pergi seorang ayah yang membesarkan aku. Sedih tak terkira hati ini. 16 tahun dulu aku kehilangan seorang mak yang kusayang, kali ini Allah ambil ayah pulak.

"Ada sebab kenapa Allah ambil mereka dulu. Ini adalah dugaan untuk semua. Banyak dipelajari dalam hidup ini. Bertabahlah.


"Wahai hati, terimalah dengan reda takdir Allah SWT. Ini adalah terbaik untuk ayah walaupun pahit untuk aku dan adik-beradik tapi bagi Allah ini adalah jalan terbaik untuk ayah," tulisnya.


Dalam hantaran sama, Ashraf juga berkongsi rasa bahagianya kerana berpeluang menguruskan sendiri jenazah bapanya.


"Alhamdulillah, dari Kelantan sempat sampai Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dapat solatkan untuk ayah, bersama seketika dengan ayah sehingga ke liang lahad, syukur buatku.


"Pengalaman ini takkan ku lupa sampai mati. Along rindu ayah, banyak perkara Along nak buat dengan ayah tapi tak kesampaian," tulisnya.


Video berdurasi 11 minit 17 saat di Instagram itu memaparkan proses di mana Ashraf dipakaikan sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan turut serta bersama beberapa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menguruskan jenazah bapanya.


Turut dikongsikan juga detik ketika dia berada di dalam kenderaan jenazah menuju ke tanah perkuburan dan beberapa detik ketika proses pengebumian berlangsung.


Jenazah Muslim selesai disemadikan tepat jam 3.13 petang, hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara, Seksyen 9, Petaling Jaya.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->