‘Hampir 2 bulan jasad belum dikebumi’


KUALA NERANG – Sepasang suami isteri sedih apabila jena­zah anak lelakinya yang dipercayai ditemui lemas di Sungai Kuala Pai di sini pada 27 Julai lalu belum dapat dikebumikan sehingga hari ini.

Menurut Hamid Yaakob, 61, hampir dua bulan jenazah anaknya, Mohd. Shahril Hamid, 31, masih disimpan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dekat sini.

“Jenazah anak saya masih di HSB dan belum dapat dikebumikan kerana proses siasatan forensik dikatakan belum selesai.

“Mungkin kerana keadaan mayat arwah yang hanya tinggal bahagian pusat sehingga kaki,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Hamid memberitahu, anak saudaranya akan ke jabatan forensik hospital itu pada setiap minggu bagi mendapatkan perkembangan terkini.

“Setiap minggu juga saya akan menghubungi ketua balai polis di daerah ini untuk bertanyakan bila mayat anak saya boleh dikebumikan,” ujarnya.

Katanya, dia dan isteri, Kamaliah Ali, 54, juga sudah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang diminta pihak hospital dan polis bagi mempercepatkan proses berkenaan.

“Sehari selepas mayat jumpa, darah isteri saya diambil untuk proses pengecaman. Sampel gigi Shahril juga saya ambil di sebuah klinik swasta tempat Shahril mencabut giginya sebelum ini untuk digunakan dalam proses itu

“Baru-baru ini, pihak hospital memaklumkan sampel masih di Hospital Pulau Pinang dan belum mengetahui keputusan lanjut,” katanya.

Hamid berkata, mereka juga pernah cuba meminta supaya mayat Shahril dilepaskan tanpa proses berkenaan, namun pihak hospital tidak membenarkannya tanpa surat polis.

“Harapan kami hanya satu, segerakan proses-proses tersebut supaya kami boleh semadikan jenazah Shahril.

“Kami yakin mayat itu adalah anak kami,” ujarnya.

Katanya, kehilangan Shahril amat dirasai dan dia tidak lagi ke sungai tersebut kerana akan te­ringatkan arwah.

“Walaupun dia seorang anak yang pendiam, tetapi dia sangat mengambil berat terhadap kami dan adik-beradiknya lain,” katanya.

Kosmo! pada 22 Julai lalu me­laporkan satu rangka manusia dipercayai Mohd. Shahril ditemui selepas 25 hari hilang kerana dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kuala Pai pada 25 Jun lalu.

- Kosmo 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->