Isteri Zul Fenomena meninggal dunia akibat Covid-19


Kuala Lumpur: "Isteri tiada pesan apa-apa. Dia cuma beritahu dia nak balik rumah," kata Zul, pemain gitar kumpulan rock Fenomena dalam nada sebak apabila mengulas kematian isterinya akibat Covid-19. 

Zul atau nama sebenarnya Zul Iskandar Shah, terlebih dahulu memaklumkan berita pemergian isterinya menerusi hantaran di Facebooknya.

"Isteri saya Norhadziah binti Ismawi (Gee Ismawi) telah kembali ke Rahmatullah pada jam 9.20 malam 21/9/21, akibat Covid-19 setelah 26 hari bertarung nyawa.

"Terima kasih kepada Allah, saya reda pemergian isteri saya. Al-Fatihah," tulisnya.

Zul yang dihubungi Harian Metro berkata, isterinya dimasukkan ke Hospital Serdang pada 25 Ogos lalu selepas mengalami demam dan hilang deria bau.

"Arwah isteri sepatutnya ambil vaksin secara 'walk in', tapi tiga hari sebelum pergi dia mengalami demam sehingga tidak larat nak bangun. 

"Hari ketiganya dah okey, tapi dia mengadu hilang deria bau. Saya bawa ke klinik dan doktor sahkan dia positif. Kami sekeluarga kemudian pergi ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan dipakaikan gelang.

"Namun, isteri kemudian terpaksa ditahan kerana bacaan oksigennya berada pada paras 80 lebih," katanya memaklumkan Norhadziah kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk bantuan oksigen.

"Masuk hari ketujuh, doktor kata nak tidurkan isteri kerana paras oksigen menurun semula. Katanya itu lebih baik kerana isteri muda lagi, umur 41 tahun.

"Kata doktor, takkan nak tunggu bacaan oksigen isteri dah 40 baru nak intubasi. Akhirnya isteri tetap tidak dapat diselamatkan apabila meninggal malam tadi. Namun, sebelum ditidurkan doktor dapati ada darah beku dalam paru-paru.

"Doktor turut beritahu paru-parunya bocor. Angin dalam badan banyak dan jadi macam bengkak air," katanya. 

Zul berkata, bagaimanapun doktor memaklumkan perkembangan terbaharu isterinya semalam semuanya okey.

"Jantung, hati dan buah pinggang semua tiada masalah. Cuma, doktor beritahu oksigen dalam darah tiba-tiba merosot sampai 70.

"Anak-anak kami yang berusia 11 tahun, 10 tahun, enam tahun dan setahun tiga bulan sudah saya beritahu mengenai kematian ibu mereka. 

"Jenazah isteri boleh dikebumikan secara normal kerana doktor sahkan tiada Covid selepas lebih 21 hari. Saya kini dalam proses menuntut jenazah untuk dikebumikan di Taman Zamrud, Seremban hari ini juga," katanya. 

Fenomena yang dianggotai oleh Kamal (vokal), Zul (gitar), Sam (gitar), Eka (bass) dan Epit (drum) pernah bergelar juara pertandingan Rentak Juara – Rythm of Champion terbitan RTM. 

- HMetro 


LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->