Pelancong positif Covid-19 perlu jalani penilaian lanjut


Langkawi: Pelancong yang dikesan positif sebaik tiba di pulau peranginan ini akan terus dibawa ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sebelum diminta menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) di Lapang Sasar Antarabangsa Langkawi Malasyia (LISRAM).

Katanya, anggota pasukan keselamatan dan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) juga adalah mencukupi bagi memantau kemasukan pelancong sebaik mereka tiba di lapangan terbang atau terminal feri.

"Penduduk tempatan tidak perlu risau, kita ada cukup anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertugas termasuk kakitangan KKM bertugas di pintu masuk.


"Jika ada yang terlepas dan dikesan positif, kita akan bawa terus ke CAC dan jika perlu mereka boleh dirawat di Hospital Sultanah Malihah atau memilih kuarantin di hotel atau di PKRC," katanya pada sidang media selepas menyambut ketibaan pelancong di sini, hari ini.

Hari ini, seramai 3,200 pelancong domestik dijangka tiba di Langkawi melalui 18 penerbangan dan tiga perjalanan perkhidmatan feri sempena pembukaan semula pulau itu di bawah projek rintis gelembung pelancongan.

Mengulas mengenai kejadian beberapa lokasi tumpuan di negeri lain yang kotor akibat kehadiran pengunjung yang ramai, beliau berharap perkara itu tidak berlaku di Langkawi.

"Kita di Langkawi agak berbeza kerana pelancong yang datang masuk melalui pesawat atau feri dan mereka hanya membawa beg pakaian dan mengambil peluang membeli-belah di sini.

"Apa yang terjadi di lokasi terbabit adalah pengunjung membawa makanan dan berkelah menyebabkan ada sisa sampah, tetapi pelancong di Langkawi banyak yang makan di kedai," katanya.

- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->