Pengasas Popia Jamal meninggal dunia akibat Covid-19



Alor Setar: "Doktor memaklumkan ayah terpaksa ditidurkan dan perlu menggunakan alat pernafasan sebelum meninggal dunia semalam," kata Sani Mohamad Jamal Mohamad, 55.


Sani Mohamad adalah anak sulung kepada pengasas Popia Jamal yang terkenal di bandar raya ini iaitu Jamal Mohamad Kadir Mydin, 85, yang meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19.


Sani berkata, arwah bapanya yang mempunyai komplikasi penyakit buah pinggang serta darah tinggi mengadu sukar bernafas dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 1.30 pagi semalam.


"Pada jam 3.45 petang kami sekeluarga dimaklumkan oleh pihak hospital yang ayah menghembuskan nafas terakhirnya.


"Jenazah dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Al-Ihsan, Seberang Perak sebaik urusan di Jabatan Forensik HSB selesai pagi ini," katanya ketika dihubungi hari ini.


Sani Mohamad berkata, bapanya sebelum ini tinggal bersama adik bongsunya, Fakir Mohamad Jamal Mohamad, 45, di Jalan Seberang Perak selepas mengalami pelbagai penyakit.


Isteri Jamal, Samsan Beevi Jamal Mohamed@Samsu, 68, turut sedang dirawat di hospital sama selepas positif Covid-19.


Popia Jamal diasaskan Jamal Mohamad pada 1936 dan ketika itu arwah berniaga di hadapan Masjid Zahir di sini.


Popia Jamal adalah antara makanan kegemaran Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis rasmi negeri di Istana Anak Bukit sebelum ini.


Selepas mengalami masalah kesihatan, warisan perniagaan Popia Jamal diwarisi dua anaknya yang kini berniaga di Jalan Tun Abdul Razak dan Taman Koperasi sehingga kini.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->