About Me

'Saya cuba lakukan walaupun tangan terketar-ketar'


Putrajaya: Perasaan gementar, cemas, panik dan takut dirasai seorang suami, Shahril Nizam Mohd Sabrie ketika menjadi bidan terjun bagi membantu isterinya, Siti Mariani Mior Hasan melahirkan cahaya mata ketiga mereka.

Ia selepas isterinya, Siti Mariani, 37, tidak sempat dibawa ke hospital kerana terlebih dulu melahirkan anak di rumah mereka dekat Presint 9 di sini, semalam.

Kegusaran Shahril Nizam, 41, itu hilang selepas bayinya yang belum diberi nama selamat dilahirkan pada 3.35 petang.

Berkongsi kisah berkenaan, Shahril Nizam berkata, isterinya dijangka bersalin pada hari ini dan dia tidak sangka anak mereka akan dilahirkan di rumah sehari lebih awal walaupun sudah bersiap sedia dengan segala kemungkinan.

"Saya tidak bekerja semalam dan ada di rumah bersama isteri dengan dua anak kami.

"Ada pelanggan mahu membeli telefon bimbit tetapi saya minta dia datang mengambilnya di rumah kerana isteri sedang menunggu masa untuk bersalin.

"Selesai urusan dengan pelanggan, saya terus naik ke rumah tetapi jadi panik kerana anak beritahu isteri menangis sebaba sudah tidak tahan sakit mahu bersalin," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tanpa berlengah, Shahril Nizam terus menghubungi ambulans untuk membawa isterinya ke hospital.

Bagaimanapun, katanya, keadaan menjadi semakin cemas apabila Siti Mariani mengerang kesakitan hingga menyebabkan operator di talian terpaksa memberi tunjuk ajar kepadanya mengenai apa perlu dilakukan sementara menunggu ambulans tiba.

"Saya benar-benar buntu dan tidak tahu apa perlu dilakukan ketika itu kerana hendak mengangkat isteri pun tidak berani kerana keadaannya yang sedang sarat.

"Jadi, saya hanya dengar tunjuk ajar operator di talian yang minta bantu baringkan dahulu kepala isteri di atas bantal dan lapik badannya dengan tuala.

"Ikutkan memang gementar tetapi mahu atau tidak, saya perlu cuba lakukannya walaupun tangan terketar-ketar kerana tiada pengalaman berdepan situasi seperti itu," katanya.

Shahril berkata, dia risau jika bayinya lemas dan tidak dapat diselamatkan.

"Bagaimanapun, saya cuba tenangkan isteri dan beri semangat kepadanya untuk meneran.

"Alhamdulillah, isteri selamat melahirkan bayi kami. Saya bersyukur sangat dan berasa mahu menangis selepas menyambut sendiri kelahiran anak serta melihat wajahnya di dalam pangkuan," katanya.

Menurut Shahril Nizam, pengalaman itu terlalu berharga dan tidak mungkin dilupakannya sampai bila-bila.

Katanya, sebelum ini dia ada menemani isteri di wad bersalin ketika menyambut kelahiran anak sulung, Rifqi Mikhail, 7, dan kedua, Raqib Zayyan, 6, tetapi hanya berada di sisi memberi semangat.

"Kali ini, saya berseorangan membantu isteri menyambut kelahiran bayi kami.

"Memang mencabar tetapi saya bersyukur dan berterima kasih kepada operator di talian yang membantu saya dalam waktu mencemaskan itu.

"Isteri baru pulang hari ini dan bayi kami masih berada di wad untuk pemantauan. Saya pula di rumah kerana tidak dibenarkan melawat mereka kerana terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) ketika ini," katanya.

- HMetro 
header ads
LAZADA 9.9

LAZADA 9.9E

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->