'Sebulan sekali Zayyan diserang sawan'


KOTA BHARU: Detik kelahiran Muhammad Zayyan Amran tiga tahun lalu yang disambut penuh kegembiraan bertukar menjadi duka sebaik anak itu dikesan menghidap pelbagai penyakit.

Muhammad Zayyan disahkan mengalami 'CHILD Sindrom' yang mana sepasang kakinya bengkok, keadaan mata yang agak berjarak antara satu sama lain dan bentuk kepala yang tidak normal.

Lebih menyedihkan, kanak-kanak istimewa itu juga tidak dapat berjalan, melihat dan mendengar termasuk mengalami masalah lidah pendek (tongue tie) atau ankyloglossia.

Ibunya, Zilaini Mat Daud, 39 berkata sepanjang tempoh kehamilan dia tidak berdepan sebarang masalah sehinggalah Zayyan dilahirkan.

"Walaupun menghidap pelbagai penyakit, Zayyan anak yang baik dan tidak merengek cuma kami sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana dia kerap diserang sawan.

"Boleh dikatakan sebulan sekali Zayyan diserang sawan yang menjadikan dia kejang dan paling lama keadaan itu berlaku adalah selama satu jam," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Perupok Banggol di sini, semalam.

Terdahulu mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO), Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang hadir menyampaikan sumbangan zakat.

Zilaini berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu juga hanya bergantung kepada susu khas, selain tidak dapat menelan makanan termasuk air kosong kerana akan dia akan tersedak dan muntah.

Bapa Zayyan, Amran Hassan, 46, bekerja sebagai mekanik motosikal dari rumah menyebabkan adakala mereka berdepan kekangan kewangan untuk menyediakan keperluan Zayyan walaupun anaknya itu ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500 sebulan.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Zilaini di talian 0195285174.

- Berita Harian 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->