About Me

Sekolah dibuka semula: Sistem bersemuka paling baik


SHAH ALAM: Pelajar yang terperap di rumah dan tidak ke sekolah dalam tempoh yang panjang boleh memberi kesan kepada perkembangan mental dan fizikal mereka.


Pakar pendidikan, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, pelajar bukan saja terpaksa belajar dalam keadaan terbatas, bahkan mereka tidak dapat bersosial yang secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan mental dan fizikal mereka.


“Cara belajar secara bersemuka itu adalah kaedah paling terbaik dalam sistem pendidikan mana-mana negara sekali pun.


“Menerusi pembelajaran secara bersemuka ini, ia memudahkan pemahaman pelajar dan murid terhadap topik yang diajar.


“Pada masa sama, mereka juga dapat bersosial dengan rakan-rakan, guru dan orang sekeliling,” katanya.


Sehubungan itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, pembukaan semula sekolah bermula 3 Oktober depan ibarat memberi nafas baharu kepada pelajar dan murid yang sudah sekian lama mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).


“Mereka sudah lama belajar di rumah dan tidak dapat bersosial, jadi dengan pembukaan sekolah ini, mereka dapat belajar dan bergaul semula seperti biasa dengan rakan-rakan sekelas, rakan sekolah, guru-guru dan mereka di sekeliling.


“Perkara yang paling penting adalah pelajar dan murid perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan ia perlu dipantau secara ketat oleh pihak sekolah dan ibu bapa.


“Dengan penularan varian baharu yang lebih ganas seperti Delta, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua meter perlu menjadi amalan,” katanya.


Sementara itu, Pensyarah Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Che Hasniza Che Noh berkata, pembukaan sekolah wajar kerana untuk memastikan proses pendidikan lebih berkesan terutama kepada pelajar di bawah 18 tahun.


“Pendidikan dan kesihatan adalah perkara paling utama kepada negara kerana pendidikan itulah yang akan membentuk generasi akan datang.


“Proses pendidikan pula hanya berkesan apabila dilakukan secara bersemuka kerana guru adalah pendidik atau mentor yang boleh dijadikan contoh kepada pelajar dan murid.


“Jadi, sama ada mahu atau tidak, usaha untuk belajar secara bersemuka harus ada bagi mengimbangi keperluan jasmani dan rohani pelajar serta murid itu sendiri,” katanya.

Percepat vaksin pelajar


Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berpendapat, sebagai persediaan pembukaan semula sekolah pemberian vaksin kepada pelajar seeloknya dipercepatkan.


“Sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah bersedia dan keputusan kajian tentangnya telah diperoleh, sebaiknya vaksin kepada pelajar diberikan sekarang.


“Sekurang-kurangnya ibu bapa akan rasa tenang dan tidak susah hati untuk membenarkan anak-anak ke sekolah semula,” katanya.


Katanya, pihak sekolah dan pengendali juga perlu memastikan pelajar mematuhi SOP terutamanya ketika berada di dalam bas sekolah.


“Pastikan pelajar mematuhi jarak fizikal ketika berada di dalam bas, selain bas juga perlu dinyahjangkit sekerap yang mungkin,” katanya.


Pada 3 September lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.


Katanya, keputusan membuka sesi sekolah itu dibuat berdasarkan penelitian lanjut yang dibuat selain mengambil kira pertimbangan daripada pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Artikel asal di Sinar Harian
header ads
LAZADA 9.9

LAZADA 9.9E

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->