DNA sahkan ia Nurin Jazlin - Polis



Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan mengesahkan ia milik kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin, 8, mangsa pembunuhan kejam yang menggemparkan negara dalam kejadian dilaporkan berlaku 14 tahun lalu.


Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, hasil ujian DNA dilakukan mengesahkan mayat kanak-kanak itu adalah Nurin Jazlin.


Dalam perkembangan berkaitan, Azmi berkata, susulan laporan polis terbaharu dibuat bapanya yang mendakwa terdapat petunjuk baharu maka pegawai penyiasat kanan sudah memanggilnya semula untuk dirakam keterangan.


"Pegawai penyiasat kanan sudah memanggilnya bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai laporannya itu," katanya kepada Harian Metro.


Azmi berkata, pihaknya juga meminta seorang individu warga Indonesia yang mendakwa mempunyai maklumat berhubung kes Nurin Jazlin supaya tampil membantu siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi sekali lagi mengulangi bahawa kes membabitkan Nurin Jazlin tidak pernah ditutup sebaliknya menegaskan siasatan teliti akan dilakukan jika ada petunjuk baharu.


"Malah, bapa mangsa sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul jam 2 petang tadi bagi merakam percakapannya untuk membantu siasatan," katanya.


Eng Lai berkata, hasil rakaman percakapan lebih sejam itu, bapa mangsa ada memberi maklumat baharu berhubung kes anaknya itu dan hasil maklumat diberikannya itu akan disemak dengan teliti dahulu.


Mengulas perkara sama, Jazimin berkata, dia sudah memberikan maklumat terbaharu yang diperolehi itu kepada pegawai penyiasat termasuk menyerahkan gambar diberikan warga Indonesia yang mendakwa kemungkinan itu adalah suspek kes penculikan anaknya.


"Pegawai polis akan menyiasat maklumat terbaharu dan akan menyemak sama ada lelaki terbabit masih bekerja dalam bidang perkapalan. Malah dia (pegawai penyiasat) memberitahu saya jika perlu ke Indonesia mereka akan lakukannya bagi menyelesaikan kes ini," katanya.


Menurutnya, individu yang memberi gambar lelaki terbabit memberitahu lebih 90 peratus wajah suspek itu sama dengan lakaran fotofit diedarkan polis sebelum ini.


"Saya cuma berharap kes ini dapat diselesaikan demi keadilan buat anak kerana itu yang lebih penting," katanya.


Harian Metro semalam melaporkan sejak penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan berkeadaan tragis pada pagi 17 September 2007 dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya, Selangor, Jazimin Abdul Jalil tetap berpendirian itu bukanlah anaknya, Nurin Jazlin.


Beliau berkata, ini termasuk saiz gigi yang berbeza, tahi lalat hidup di paha dan ketiadaan parut suntikan pelalian Bacillus Calmette–Guerin (BCG).


Jazimin dilaporkan berkata, dia ada membuat laporan polis pada Jun lalu selepas mendapat petunjuk lain daripada seorang individu warga Indonesia berhubung suspek kes Nurin Jazlin, tetapi masih belum dapat reaksi positif.


Menurutnya, berdasarkan maklumat terbaru itu, seorang lelaki Indonesia yang bekerja dalam bidang perkapalan dikatakan menculik Nurin Jazlin dan anaknya itu sudah dibawa ke negara jiran berkenaan.


Nurin Jazlin dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, kira-kira jam 8 malam, 20 Ogos 2007.


Dia yang menghidap komplikasi buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang ketika keluar berseorangan untuk membeli sepit rambut di pasar malam itu.


Penjenayah yang dikatakan menculiknya menyumbat mayat mangsa dalam beg sukan sebelum ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya. Mayat itu kemudian ditemui oleh pemilik kedai sebelum diadukan pada polis.


Polis kemudian berusaha menjejaki suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian namun kualiti video yang kurang jelas menyukarkan polis untuk mengecam wajah suspek.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->