Isteri meninggal dunia 24 jam selepas nikah



KOTA BHARU – “Abang, kita sudah kahwin, abang perlu sentiasa menjaga ahli keluarga kita.”


Itulah kata-kata Siti Saraf Ismail, 25, kepada suaminya, Mohamad Amirul Akmal Mohd. Aziz, 25, selepas pasangan itu selamat diijab kabul di Kampung Karang, Banggu di sini pukul 11 pagi pada Sabtu lalu.


Pasangan raja sehari itu juga mahu membina mahligai bahagia bersama sehingga ke anak cucu, namun impian tersebut tidak kesampaian apabila Siti Saraf dijemput Ilahi dalam tempoh 24 jam selepas bergelar isteri kepada Mohamad Amirul Akmal.


Cinta hati Mohamad Amirul Akmal meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini pukul 12.30 tengah hari kelmarin.


Walaupun perit untuk mene­rima hakikat kehilangan isterinya yang juga kakitangan bahagian pentadbiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya, namun Mohamad Amirul Akmal terpaksa menerima hakikat itu.


Menceritakan semula mengenai kejadian itu, Mohamad Ami­rul Akmal yang bekerja sebagai pembantu perubatan di Putrajaya berkata, ketika dia sedang tidur, isterinya telah mengejutkannya.


“Isteri saya memaklumkan dia mengalami sakit kepala kira-kira pukul 3 pagi pada Ahad lalu. Saya kemudian terus berada di sisi menjaganya sehingga ke pagi.


“Sepanjang tempoh itu, saya lihat Siti Saraf berada dalam keada­an baik dan masih tidur. Selepas itu, saya dan keluarga dikejutkan dengan keadaan Siti Saraf yang tiba-tiba sesak nafas.


“Ketika itu, kami semua ber­ada dalam keadaan cemas melihat situasi tersebut. Saya kemudian menghubungi ambulans,” kata­nya ketika ditemui di rumah mentuanya di Kampung Karang, Banggu di sini semalam.



Mohamad Amirul Akmal memberitahu, bantuan ambulans terpaksa diminta selepas isterinya dilihat memerlukan bantuan oksigen dengan kadar segera.


Katanya, ambulans kemudian tiba tepat di rumah pukul 12 te­ngah hari kelmarin.


“Isteri saya kemudian dibawa ke HUSM, namun disahkan me­ninggal dunia pukul 12.30 tengah hari (kelmarin).


“Hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Raja Perem­puan Zainab II di sini pula, doktor mengesahkan arwah meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak sebelah kanan,” ujarnya.


Allahyarham Siti Saraf selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Karang kelmarin.


Terdahulu, kisah sedih pasa­ngan raja sehari itu turut tular di media sosial selepas dikongsikan rakyat Malaysia yang rata-rata bersimpati dengan kejadian yang menimpa mereka berdua.


Rata-ratanya menitipkan doa kepada arwah dan memberi kata-kata semangat kepada Mohamad Amirul Akmal untuk menjalani kehidupan dengan tabah selepas ini.


 -K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->