Keluarga lapor polis pengedar dadah maut ketika serbuan



KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan menerima laporan daripada ahli keluarga suspek dipercayai pengedar dadah yang maut dalam serbuan ke atas sebuah rumah flat di Taman Dato Senu, Sentul di sini pada petang Selasa.


Polis berjaya menahan lelaki berusia 45 tahun itu yang cuba menyerang pasukan serbuan menggunakan sabit sebelum suspek mengalami sesak nafas dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, laporan dibuat oleh anak saudara suspek sekitar jam 3.15 pagi Rabu.


"Polis menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang merupakan anak saudara suspek pada 6 Oktober (Rabu) sekitar jam 3.15 pagi.


"Dalam laporan tersebut anak saudara suspek mengatakan bahawa pihak polis telah menggunakan kekerasan terhadap suspek semasa melakukan tangkapan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.


Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah tiba-tiba rebah dan pengsan selepas cuba menyerang pasukan serbuan menggunakan sabit.


Serbuan tersebut dijalankan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sebuah flat di Taman Dato' Senu, di sini pada petang Selasa.


Mengulas lanjut, Azmi berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kuala Lumpur akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus terhadap laporan tersebut.


"Mayat suspek telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. Laporan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.


Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/585 atau mana-mana balai berdekatan.


- SinarHarian 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->