Maut langgar jentolak



Klang: Seorang remaja maut, manakala dua cedera apabila kenderaan dinaiki mereka bertiga bertembung dengan sebuah jentolak di Jalan Telok Gong, berhampiran Masjid Jamek, di sini, tengah hari tadi.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan maut membabitkan kereta jenis Perodua Myvi dengan jentolak kira-kira jam 12.13 tengah hari.


Katanya, siasatan mendapati jentolak yang dipandu oleh lelaki berumur 52 tahun itu dari arah Telok Gong menghala ke Klang.


"Sebaik tiba di tempat kejadian berhampiran Masjid Jamek, Myvi yang dipandu lelaki berumur 19 tahun dipercayai memandu dalam kadar kelajuan yang tinggi dari arah bertentangan memasuki laluan jentolak dan melanggar 'bucket' jentolak terbabit.


"Akibat perlanggaran itu, remaja perempuan berumur 18 tahun (tempat duduk sebelah pemandu) yang juga rakan sekerja pemandu Myvi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


"Pemandu Myvi dan adik perempuan pemandu yang berumur 15 tahun (tempat duduk belakang) dirawat di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR). Pemandu jentolak tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.


Shamsul Amar berkata, mangsa yang maut, Nurshaniza Alaudin yang beralamat di Bandar Bukit Tinggi dibawa ke Jabatan Forensik HTAR.


"Proses bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan setelah keputusan ujian Covid-19 diperoleh.


"Remaja lelaki (pemandu Myvi) yang berada di Zon Merah dilaporkan tidak stabil, manakala adiknya kini berada dalam keadaan stabil," katanya.


Beliau berkata, siasatan mendapati, ketika kejadian Myvi yang dipandu remaja lelaki itu dari kedai menuju ke rumah untuk mengambil barang-barang yang ingin dihantar ke masjid.


"Punca kemalangan dipercayai kecuaian pemandu Myvi yang memasuki ke laluan jentolak terbabit.


"Pemandu Myvi terbabit tidak mempunyai lesen dan dipercayai bersama si mati dan adik perempuan, dari kedai membeli barangan keperluan rumah untuk pulang semula ke rumah di Kampung Lorong Masjid, Teluk Gong," katanya.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya dihubungi untuk membantu mangsa kemalangan, sebaik tiba di lokasi mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam.


"Apabila bomba sampai, mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam, bagaimanapun bomba bertindak membersihkan kawasan kemalangan dari serpihan dan minyak dari kenderaan terbabit," katanya.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->