'Nyanyi lepas rindu saja, saya tak sihat lagi' - Khalis Shari



Kuala Lumpur: Penyanyi Khalis Shari, 32, juga adik Allahyarham Achik Spin yang menghidap penyakit kencing manis dan didakwa turut mengalami penyakit misteri sebelum ini, sudah menunjukkan tahap kesihatan semakin pulih.


Ia berikutan muncul perkongsian di media sosial baru-baru ini, rakaman video dan foto Khalis tampil menyanyi lagunya, Semakin Rindu di sebuah kedai makan dengan diiringi vokalis kumpulan Ukays, Ady.


Khalis dihubungi berkata dia menyanyi ketika itu kerana ingin mengubat rindu, selain menghormati permintaan kawan-kawan yang meminta dia menyanyikan satu lagu.


"Keadaan kesihatan saya sebenarnya, masih belum sihat penuh lagi. Nak pegang barang pun, tangan tak kuat. Begitu juga berjalan, kaki masih tidak kuat dan selalunya isteri bersama anak-anak yang papah saya ke mana-mana. Kadang-kadang guna tongkat.


"Boleh kata, tahap kesihatan saya baru 60 peratus sihat dan berat badan, 36 kilogram. Cuma kisah di kedai makan itu, saya bersama isteri keluar makan sebab dah lengkap suntikan dua dos vaksin Covid-19. Tapi, kawan pula minta saya nyanyikan satu lagu," katanya kepada Harian Metro.


Menurut Khalis, dia juga bersyukur sudah mampu bercakap dengan baik dan tidak pelat lagi. Apapun, katanya dia masih tidak berdaya dan memang berehat sepenuhnya di rumah.


"Kalau ikutkan saya tak berdaya lagi, sebab nak melangkah pun tak stabil. Jalan memang masih bertatih macam 'baby', pakai tongkat atau kena papah dengan isteri dan anak-anak untuk bergerak.


"Setakat ini, saya berehat baring lebih banyak dari bergerak kerana kaki dan tangan tak kuat. Ketika pegang mikrofon masa nyanyi itu pun, saya bimbang akan jatuh dan tawakal saja. Masa itu, saya memang rindu sangat nak menyanyi dan ada pula kawan yang mengajak," katanya lagi.



Sejak terlantar sakit, Khalis berkata segala urusan mencari nafkah keluarga sepenuhnya diurus isterinya, Zalina Azman, 40, dengan menjalankan perkhidmatan membuat bekam dari rumah ke rumah sejak lebih sebulan lalu. Malah, bayaran mengikut seikhlas hati.


Kata Khalis lagi, dia juga bersyukur selepas Negeri Sembilan berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana banyak permintaan pelanggan untuk isterinya membuat bekam dan boleh dikatakan setiap hari ada kerja.


Bagi Zalina pula, dia gembira melihat suaminya semakin beransur pulih dan terus berdoa serta berserah kepada Allah untuk melindungi mereka sekeluarga. Katanya, mereka tenang dan bergantung sepenuhnya kepada Allah untuk perlindungan kesihatan dan keselamatan.


"Suami saya baru nampak sihat ini lebih sebulan lalu. Apapun, saya tak sangka dia juga boleh menyanyi dengan baik untuk lagu Semakin Rindu itu. Saya mohon terus doakan kesihatan Khalis pulih sepenuhnya dan dia boleh bekerja semula nanti," katanya berterima kasih kepada adik-beradik dan rakan yang banyak membantu selama ini.


Khalis dan Zalina mempunyai tujuh anak iaitu dua cahaya mata hasil perkongsian hidup mereka, manakala tiga anak lagi dari perkahwinan terdahulu Zalina dan dua anak saudara iaitu anak arwah kakak yang dijaga mereka.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->