Pelajar Tingkatan 2 maut dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan



MARANG: Seorang pelajar Tingkatan Dua meninggal dunia selepas digilis sebuah kenderaan dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer (Km) 60.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat sini malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, Muhamad Danial Hakim Azmi, 14 tahun, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.


Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis EX5 sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan.


Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlanggar pembahagi jalan lalu terbabas ke lorong kiri jalan.


Pada masa sama, sebuah kenderaan dari arah yang sama tidak dapat mengawal kenderaan lalu menggilis mangsa, namun pemandunya tidak memberhentikan kenderaan.


Sementara itu, dalam kes berasingan seorang maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Km 35.5 jalan yang sama berhampiran Kampung Serating.


Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, Iezfa Ierzunizam Ibrahim, 28 tahun, yang menunggang motosikal EX5 meninggal dunia di lokasi kejadian.


Kejadian dipercayai berlaku selepas kereta Proton Wira yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan cuba memotong sebuah kenderaan.


Namun, jarak yang terlalu dekat menyebabkan kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar kereta jenis Volkswagen Golf yang datang dari arah bertentangan.


Ekoran itu, Proton Wira itu turut melanggar sebuah van jenis Nissan Vanette dan merempuh motosikal yang ditunggangi mangsa, yang berada di belakang van berkenaan.


Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris mengesahkan kejadian.


Katanya, mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.


- Awani 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->