Redah api selamat ibu lumpuh



Dungun: "Saya nekad meredah api sebelum memikul ibu saya keluar dari rumah," kata Mohd Zaiham Hamzah apabila rumahnya di Kampung Batu 48, dekat sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira 2.45 petang, rumah didiami Bidah Mat Sin, 67, yang lumpuh akibat angin ahmar bersama lima anaknya gagal menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting.


Zaiham, 25, berkata sebelum kejadian, dia meninggalkan ibunya bersendirian untuk membeli makanan berikutan adik-beradik lain tiada di rumah.


"Sebaik pulang ke rumah, saya terkejut selepas melihat api sedang marak membakar rumah dan ketika itu menyedari ibu tinggal bersendirian.


"Saya kemudian meredah masuk ke dalam rumahnya sebelum bertindak memikul ibu dan berjaya keluar dari rumah terbabit," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.


Katanya, biarpun sedih dengan kejadian, tetapi dia bersyukur kerana dapat menyelamatkan ibunya tanpa kecederaan.


Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.


Menurutnya, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun bersama sebuah jentera dengan dibantu BBP Paka bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.


"Struktur binaan yang diperbuat daripada kayu menyebabkan api marak dengan cepat. Setakat ini punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->