Warga emas tinggal sendirian ditemukan meninggal dunia



Kluang: Khidmat anggota bomba dan penyelamat diperlukan bagi membuka pintu jeriji besi rumah seorang wanita warga emas yang ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Taman Orkid, Simpang Renggam di sini pagi tadi.


Terdahulu, Wong Soon Thai, 67, ditemukan terbaring di dalam rumahnya yang berkunci oleh jiran yang kemudian membuat panggilan kecemasan.


Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahim Razali berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan mangsa terperangkap melalui talian terus Mers999 pada 10.03 pagi.


Katanya, sebuah jentera FRT dari BBP Renggam dengan kekuatan tujuh anggota dihantar ke lokasi dan sebaik tiba, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati seorang wanita tidak sedarkan diri dalam rumah yang berkunci.


"Anggota PKO bertindak membuka pintu jeriji rumah itu dengan menggunakan peralatan khas dalam tempoh tiga minit.


"Mangsa yang tinggal seorang diri di rumah itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada 10.52 pagi.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, siasatan awal di lokasi mendapati tiada unsur jenayah.


Katanya, mayat dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->