Anak syurga dijemput Ilahi selepas sejam dilahirkan



PETALING JAYA – “Mama redha atas pemergian mu wahai anak, mama hanya rindukan awak maafkan mama”.


Itulah perkongsian seorang ibu selepas anak yang dikandungnya selama sembilan bulan telah pergi buat selamanya setelah dipercayai menghidapi komplikasi jantung.


Menerusi perkongsian video oleh Muniey Nurnasuha di laman sosial Facebook, dia menceritakan kisah anaknya yang meninggal dunia disebabkan masalah jantung berlubang sejam selepas dilahirkan.


“Allah S.W.T mudahkan perjalanan adik, 40 minggu tiga hari pukul 8 pagi, mama ada rasa sakit perut dan keluar darah, dalam pukul 10 lebih baru pergi ke Hospital Serdang.


“Pukul 4 petang dah masuk wad bersalin dan pecah air ketuban, pukul 6 petang mama dah tak tahan dan terus teran lalu lahir adik pukul 6.19 petang tapi Allah S.W.T lebih sayangkan adik dan jemput adik pukul 7.40 malam,” katanya di dalam Facebook.


Tambahnya lagi, dia berasa sangat lega apabila dia sempat menguruskan segala urusan jenazah bayinya itu selepas beliau dibenarkan keluar wad sehari selepas bersalin.


“Keesokan harinya, mama dibenarkan keluar dan sempat menguruskan urusan adik dekat forensik, waktu itu mendung sangat macam dah nak hujan, selepas selesai pengebumian terus hujan, Allah S.W.T permudahkan urusan kita, mama rindu awak,” ujarnya.


Susulan perkongsian itu, rata-rata orang ramai berkongsi rasa sedih dan mendoakan supaya wanita itu sentiasa kuat dalam menghadapi ujian yang sedang dilaluinya.


“Alahai comelnya anak syurga, semoga awak dan suami tabah menerima ujian Allah S.W.T, awak perlu kuat dengan semua dugaan ini, nanti anak tunggu di pintu syurga,” kata Ita Baharin.


“Moga awak dan suami terus tabah, Allah S.W.T lebih sayangkan dia, anak syurga semoga menjadi asbab membawa ayah dan ibunya ke syurga juga,” jelas Firdaus Samsuddin.


“Salam takziah buat awak sekeluarga, bermainlah di syurga kerana awak sangat kacak nanti tunggu ibu dan ayah awak di syurga, semoga awak sentiasa kuat wahai sahabat,” ujar Zaitie Arshad. 


– K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->