Anggota polis cedera kaki digilis, tangan ditikam



*Kubang Pasu*: Anggota polis berpangkat konstabel berusia 26 tahun cedera di kaki kiri selepas digilis kereta dinaiki tokan dadah manakala tangan kanannya luka akibat ditikam ketika bergelut dengan lelaki itu dalam kejadian di Kuala Sanglang, di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, insidien itu berlaku pada 6.55 petang dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kubang Pasu ketika menahan sebuah kereta jenis Proton Iswara putih di tepi jalan di Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang.


Menurutnya, selepas memperkenalkan diri sebagai polis dan mengarahkan suspek berusia 38 tahun lelaki itu sebaliknya menghidupkan enjin kenderaan sebelum cuba melarikan diri.


"Suspek cuba melarikan diri dan melanggar dua kenderaan milik anggota polis. Malah, menggilis kaki kiri anggota polis berkenaan.


"Dalam usaha untuk mempertahankan diri, beberapa das tenbakan dilepaskan ke arah tayar kereta berkenaan sebelum kenderaan itu terbabas ke dalam sawah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Rodzi berkata, selepas terbabas, suspek bergegas keluar dari kereta berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara suspek dan anggota serbuan.


Katanya, suspek bersenjatakan pisau cuba menikam anggota polis terbabit sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian tapak tangan kanan dan belakang tapak tangan mangsa.


"Suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis syabu.


"Hasil siasatan mendapati, suspek memiliki 10 rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Rodzi berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methampetamine.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalah dadah dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.


"Anggota polis terbabit yang mengalami kecederaan itu masih dirawat selepas dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.


"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) sehingga 14 November ini bagi membantu siasatan," katanya.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->