‘Arwah kerap sebut akan pergi jauh’



GEORGE TOWN – Niat murni seorang wanita mahu membantu mangsa kemalangan jalan raya di Solaria Residences, Jalan Tun Dr. Awang, Bayan Lepas dekat sini bertukar tragedi apabila dia maut akibat dirempuh kereta malam kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 malam itu, mangsa, Suhaila Zainol Abidin, 45, maut di tempat kejadian dipercayai akibat kece­deraan parah.


Turut dilaporkan meninggal dunia adalah penunggang motosikal, Faizal Abu Bakar, 33, manakala pemandu kereta dan adik ipar kepada Suhaila cedera parah.


Kejadian dikatakan berlaku apabila motosikal jenis Honda Wave ditunggangi Faizal yang menghala Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ter­babas sendiri dan terjatuh di atas jalan di lorong kanan sebelum cuba dibantu Suhaila dan adik iparnya yang kebetulan berada di lokasi kejadian.


Menurut saksi, secara tiba-tiba, kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 25 tahun gagal mengelak te­lah melanggar ketiga-tiga mereka sebelum kereta terbalik akibat hilang kawalan.


Akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian, manakala pemandu kereta dan seorang lagi mangsa dilaporkan cedera parah. Kesemua ­mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang.


Sementara itu, adik ipar mang­sa, Nor Azrina Abdul Rahim berkata, ketika kejadian, Suhaila dikatakan sedang menunggu di tepi jalan selepas keretanya rosak ketika dalam perjalanan dari Ba­ling, Kedah ke rumahnya di Balik Pulau dekat sini.


“Suaminya telah datang membantu sebelum beredar dari situ bagi mendapatkan khidmat individu untuk membaiki kenderaan.


“Namun, sebaik kembali ke lokasi, abang saya mendapati isterinya sudah terbaring dalam keadaan berlumuran darah,” katanya kepada pemberita semalam.


Bercerita lanjut, menurut Nor Azrina, pada pertemuan tera­khirnya dengan Suhaila minggu lalu, wanita itu kerap menyebut dia akan pergi jauh dan mereka mungkin tidak dapat bersua lagi selepas ini.


“Apabila dimaklumkan dia maut ketika membantu orang, memang saya percaya kerana dia merupakan individu yang suka menolong sesiapa sahaja,” ujarnya.


Suhaila meninggalkan dua cahaya mata berusia sembilan dan 15 tahun.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superinten­dan Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi mengesahkan keja­dian itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


- Kosmo 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->