Deposit ‘hangus’ rumah tak siap



PETALING JAYA – Rumah tidak siap, duit melayang.


Itulah nasib tiga mangsa kontraktor kaki penipu yang tidak menyiapkan ubah suai rumah selepas menerima wang deposit daripada tiga pelanggan berbeza.


Seorang mangsa, Sanie Abdul Rahman berkata, dia telah kerugian RM10,000 wang deposit apabila ditipu sebuah syarikat kontraktor untuk mengubah suai dapur rumahnya.


“Kakak saya cadangkan kontraktor ini sebab itu saya percaya, selepas beri wang deposit, pelan dapur yang ingin diubah suai tidak dapat sehingga hari ini,” jelasnya kepada Kosmo! di sini semalam.


Dakwa Sanie, kontraktor itu tidak menyediakan bahan binaan yang cukup ketika awal pembinaan sehingga menyebabkan ubah suai dapur rumahnya terbengkalai.


“Saya telah berkongsi di laman sosial Facebook mengenai sikap kontraktor itu, tidak sangka ramai juga turut berkongsi ditipu oleh kontraktor yang sama,” ujarnya yang telah memfailkan tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna.



Kata seorang lagi mangsa, Noraniza Abdul Aziz, dia kerugian RM3,240 ditipu kontraktor itu bagi menggantikan pintu pagar baharu rumahnya.


“Setelah dapat deposit RM3,240, kontraktor itu terus hilang, saya telah menghubunginya sebanyak 35 kali, namun tidak dijawab,” ujarnya.


Rasa tertipu dengan kontraktor itu dia telah membuat laporan polis bagi mengelakkan ramai lagi terus ditipu oleh kontraktor yang sama.


Mangsa ketiga kontraktor itu, Megat Muhammad Faiz Tameem pula berkata, dia kerugian RM20,000 untuk mengubah suai sebuah rumah di Kelana Jaya dekat sini Ogos lalu.


“Modus operandi kontraktor itu hampir sama, selepas dapat duit deposit, dia akan hantar bahan binaan yang tidak cukup dan pekerjanya membuat alasan tidak boleh buat kerja dan pemilik syarikat itu akan lesap begitu sahaja,” ujarnya.


Kosmo! pada bulan lalu ada melaporkan ramai menjadi mang­sa kontraktor kaki penipu yang tidak menyiapkan rumah selepas puluhan ribu dibayar.


- Kosmo 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->