Jasad Ahmad Hilmi ditemukan di lokasi berhampiran ibunya berdoa sepanjang malam



Tumpat: Remaja lelaki yang hilang di sungai ketika mandi di Kampung Pulau Besar di sini, tengah hari semalam ditemukan lemas pagi ini.


Jasad Ahmad Hilmi Mas Yuri, 18, ditemukan di permukaan sungai ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan jam 10.30 pagi tadi.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, jasad mangsa ditemukan sekitar lokasinya dilihat tenggelam.


"SAR dimulakan semula jam 8 pagi tadi dan turut mendapat bantuan penduduk kampung serta ahli keluarga mangsa.


"Mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Tumpat untuk proses selanjutnya," katanya.


Pada kejadian jam 1.40 tengah hari semalam, Ahmad Hilmi yang berasal dari Manjong, Perak bersama adik serta dua sepupunya mandi di sungai terbabit sambil menjala.


Mangsa dikatakan berenang menyeberangi sungai untuk naik ke darat sebelum tiba-tiba tenggelam.


Sementara itu, ibu saudara mangsa, Mas Erni Yusof, 30-an, meluahkan rasa syukur dengan penemuan mangsa.


"Arwah mesra dipanggil Along dan dia datang ke sini untuk bercuti dan mengunjungi saudara mara.


"Ibu arwah yang tiba dari Perak tengah malam tadi segera ke tebing sungai malah tidak henti-henti berdoa supaya jasadnya ditemui.


"Pagi ini, jasadnya betul-betul timbul berhampiran tempat ibunya berdoa tengah malam tadi. Kami bersyukur dengan penemuan ini," katanya.


Jenazah akan dikebumikan petang ini di kampung halaman ibunya di Kampung Tasek, Rantau Panjang.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->