Lelaki maut jatuh sungai selepas rumah sebelah terbakar



ALOR SETAR – Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Betut, Jalan Putra di sini awal pagi ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Nazri Mohamad Saad, 48, meninggal dunia di lokasi kejadian.


Mangsa tinggal bersebelahan rumah yang terlibat kebakaran dan mempunyai sejarah penyakit sawan.



Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 5.32 pagi.


“Sebaik tiba di lokasi, kita dapati sebuah rumah dua tingkat kelas B terbakar, namun tiada mangsa di dalam kediaman tersebut.


“Hasil maklumat lanjut mendapati terdapat seorang lelaki terjatuh ke dalam sungai berdekatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Katanya, mangsa berkemungkinan cemas ketika melihat kebakaran dan dia sempat diselamatkan tetapi disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.


Tambahnya, kebakaran mengakibatkan keseluruhan rumah musnah dan tujuh kenderaan, antaranya jenis Perodua Alza, Proton Satria, Honda, Nissan Sunny serta Proton Iswara turut terbakar. 


– K! ONLINE

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->