Mangsa rentung berbakti sampai hujung nyawa



KUALA TERENGGANU – Arwah Mohd. Azizi Jaafar yang rentung dalam kebakaran sebuah kereta di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas di sini, pada Sabtu lalu merupakan anak yang taat kepada ibu bapa sehingga hujung nyawanya.


Ibu mangsa, Zabedah Dagang, 68, berkata, anak bongsunya itu tidak pernah merungut menja­ganya yang menghidap kanser usus dan suaminya, arwah Jaafar Abdullah, 76, yang menderita asma kronik.


Zabedah berkata, arwah Mohd. Azizi, 37, juga bersungguh-sungguh memenuhi hasrat ba­panya yang mahu menghembuskan nafas terakhir di rumah.


“Arwah keluar bersama abang sulungnya, Mohd. Jasmani pada pukul 2 petang (hari kejadian) untuk membawa suami yang dirawat di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pulang ke rumah.


“Bagaimanapun hanya ­am­bu­lans yang membawa suami dan Mohd. Jasmani yang sampai di rumah, manakala arwah anak saya tidak kelihatan. Luluh hati apabila dimaklumkan mengenai kejadian menimpanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Wakaf Mempelam di sini semalam.


Menurut Zabedah, dia tidak dapat tidur lena kelmarin me­ngenangkan nasib yang menimpa arwah anaknya selain bimbang keadaan suaminya yang nazak sebelum warga emas itu mening­gal dunia pada pukul 5 pagi kelmarin.


Kosmo! semalam melaporkan kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza yang dipandu arwah Mohd. Azizi terbakar di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berdekatan Kampung Wakaf Beruas mengakibatkan mangsa maut selepas melecur hampir 90 peratus pada pukul 7.05 malam, Sabtu lalu.


Lebih memilukan, bapa arwah Mohd. Azizi meninggal dunia selang 10 jam kemudian akibat asma kronik.



Bercerita lanjut, Zabedah memberitahu, arwah anaknya meninggalkan balu, Roslinda Ahmad Ramzi, 32, dan tiga anak iaitu Nur Arisya, 12, Muhammad Rizqin, 6, dan Muhammad Ruzairi, 14 bulan.


“Kesihatan saya merosot sejak empat tahun lalu sehingga perlu menjalani pembedahan. Arwah anak saya dan keluarganya me­netap bersama di sini untuk menjaga saya dan suami.


“Arwah suami dirawat di HSNZ sejak 14 November lalu dan anak saya (arwah Mohd. Azizi) berkeras untuk membawa pulang bapanya setelah keadaan kesihatannya semakin buruk,” katanya.


Tambah Zabedah, hubungan Mohd. Azizi dengan arwah suaminya rapat memandangkan dia merupakan anak lelaki bongsu.


“Walaupun amat perit untuk ditelan, saya reda kehilangan dua insan tempat bergantung dalam sekelip mata,” ujarnya.


- Kosmo 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->