Meraung lihat suami digari



Kota Bharu: Terkejut sebaik melihat suami digari pihak berkuasa, wanita warga Rohingya meraung sambil merayu supaya lelaki itu dilepaskan.


Sambil mendukung bayi lelakinya yang berusia setahun dan diiringi dua kanak-kanak lelaki, wanita berusia 30-an itu berulang kali memanggil suaminya yang sedang disoal siasat pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dan keadaan makin bingit apabila suaminya menaiki trak untuk dibawa ke depot tahanan.


Lelaki berusia 50-an yang memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan di sebuah kedai makan di Kubang Tin, Melor, di sini, kerana bekerja di premis berkenaan.


Dia antara 16 warga Rohingya yang ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) dengan kerjasama JIM, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Polis Diraja Malaysia.


Penolong Setiausaha MDKPI, Nik Muhammad Syahmi Nik Mohd Azlan berkata, serbuan bermula 5 petang semalam hingga 8 malam tadi itu di empat lokasi iaitu Kampung Kubang Tin, Melor Lama, Jambu Merah serta Kok Lanas.


"Operasi ini berdasarkan aduan yang diterima daripada penduduk sekitar yang melaporkan pelbagai isu yang ditimbulkan warga Rohingya terutama dari segi kebersihan dan penyelongkaran tong sampah.


"Dalam operasi ini, sebanyak enam notis kompaun dikeluarkan atas kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tiga kompaun kesalahan membabitkan kebersihan dan satu berniaga tanpa lesen," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.


Nik Muhammad Syahmi berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan kegiatan menyelongkar tong sampah yang dilakukan warga asing yang mana majoritinya menjalankan kerja sebagai pengutip besi buruk.


Seterusnya, warga Rohingya itu akan membawa pulang barangan yang diselongkar itu ke rumah dengan menjadikannya sebagai stor sekali gus mengganggu penduduk.


Sementara itu, Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan, Amran Abd Aziz berkata, seramai 46 warga asing diperiksa dan 16 daripada mereka ditahan atas kesalahan tiada dokumen perjalanan serta kad UNCHR yang tamat tempoh.


"Daripada 16 yang ditahan itu, 10 adalah lelaki dan dua wanita manakala selebihnya adalah kanak-kanak, dengan usia bagi yang dewasa antara 20-an hingga 50-an.


"Seorang pemilik kedai makan berusia 22 tahun turut ditahan kerana menggaji warga asing yang juga pemegang kad UNCHR dan kesemua mereka dibawa ke Depot tahanan Imigresen Tanah Merah," katanya.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->