Pernah koma, Jahidah mangsa keganasan rumah tangga bersalin 1 Disember



SEREMBAN: Jahidah Nordin yang sebelum ini koma dipukul ketika hamil oleh suaminya awal bulan Mei lalu dijangka melahirkan bayi dalam kandungannya secara pembedahan pada 1 Disember ini. 


Selepas hampir enam bulan peristiwa hitam itu, Jahidah, 43, yang kini dijaga sepenuhnya oleh adiknya, Fauziah Nordin, 40, menunjukkan perkembangan positif dan bayi dalam kandungannya membesar dengan baik.


“Doktor pakar sudah sahkan Kak Jahidah akan dibedah (melahirkan anak) pada 1 Disember ini, tetapi risikonya amat tinggi dan boleh membawa kematian. 


“Kak Jahidah dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi (O&G) Hospital Tuanku Ja’afar Seremban sejak 22 November lalu tetapi kami tidak dibenarkan melawat kerana prosedur sangat ketat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 


Jelas Fauziah, doktor memaklumkan bahawa kakaknya itu bakal berhadapan pelbagai komplikasi dan pembedahan bersalin nanti turut diawasi oleh Unit Rawatan Rapi (ICU).


“Ini disebabkan keadaan kakak yang tidak boleh respon dan juga base line (otaknya) memang sudah rosak, ada pendarahan. 


“Semasa pembedahan nanti, kak Jahidah akan dibius penuh dan peluang untuk sedar semula agak berisiko tinggi kerana keadaan otaknya, namun doktor akan terus mengawasi tahap oksigen kakak,” katanya yang memberitahu perkembangan Jahidah dimaklumkan pihak hospital.


Fauziah memberitahu, antara kemungkinan komplikasi yang akan dialami kakaknya ialah respiratory distress (kesukaran pernafasan), pendarahan, jangkitan kuman, cardiact arrest (jantung terhenti) dan kematian.


Dalam nada hiba, Fauziah hanya mengharapkan yang terbaik untuk kakaknya dan bayi lelaki yang bakal dilahirkan nanti.


Sementara itu, menerusi perkongsian Fauziah di media sosial Tiktok @ziahzara15 hari ini, dia berasa sebak membersihkan bilik Jahidah dan tidak pasti sama ada kakaknya akan balik seperti sebelum ini.


“Walaupun sebak hati bersihkan bilik kakak, tidak pasti kakak akan balik atau tidak seperti sebelum ini, sedia terima semua risiko kemungkinan pada kakak, tidak mustahil kakak akan balik ke bilik dengan bayi.


“Walaupun risiko sangat tinggi dan boleh bawa kematian kepada kakak, tapi kakak mesti kuat untuk bela nasib kakak pada lelaki yang buat kakak menderita ke hukuman paling berat, dan baby juga perlukan kakak,” luahnya.


Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah, yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun. 


Jahidah pada mulanya dimasukkan ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.


 – UTUSAN ONLINE 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->