Terungkai rindu ayah



Johor Bahru: Tangisan seorang bapa yang rindukan anak dan isteri mengiringi kepulangan seorang rakyat Malaysia yang terperangkap di Singapura, sejak lebih setahun lalu.


Bali anak Jalang, 36, adalah rakyat Malaysia dari kumpulan pertama seramai 46 orang yang tiba di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini, jam 9.10 pagi tadi.


Bali adalah rakyat Malaysia pertama yang berjaya melepasi pintu keluar Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL Darat) di terminal berkenaan selepas pemeriksaan ketat termasuk ujian pengesanan pantas (RTK), 'On Arrival Test' (OAT) Covid-19.


Dia yang bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin di Singapura sejak 16 tahun lalu tidak dapat menahan sebak sebaik melihat isterinya, Donna Alicia, 34, bersama tiga anak, menanti di pintu keluar terminal.


"Perasaan saya bercampur baur. Saya tidak dapat tidur semalaman dan tiba di Terminal Queen, Singapura bagi menaiki bas sejak jam 6 pagi tadi walaupun bas dijadualkan bertolak jam 8 pagi dari sana.


"Saya terlalu rindukan isteri dan anak-anaknya. Lega rasanya apabila kerinduan ini akhirnya terungkai selepas lama kami berpisah," katanya sambil mengesat air mata gembira.


Dia ditemui selepas keluar dari pintu keluar laluan VTL-Darat di Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini, hari ini.


Penasihat Menteri Besar, Datuk Tee Siew Keong menyambut ketibaan kumpulan pertama VTL-Darat yang tiba di terminal berkenaan.


Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan mengumumkan VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.


Hasni dilaporkan berkata, ia hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.


Isnin lalu pula, Hasni dilaporkan berkata, Johor bersedia menerima masuk seramai 1,440 individu pada minggu pertama laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat antara Malaysia dan Singapura


Hasni berkata, Johor sudah menghantar prosedur operasi standard (SOP) khas kepada kerajaan Persekutuan bagi membolehkan VTL darat itu dilaksanakan sekali gus sempadan antara Malaysia-Singapura dapat dibuka segera.


Perjalanan darat antara Singapura dan Johor Bahru hanya merangkumi pemegang pas jangka panjang bagi mereka yang bekerja di Singapura dan Johor Bahru.


Selain diwajibkan divaksinasi penuh, laluan VTL hanya menggunakan bas sebagai mekanisme pengangkutan.


Perkhidmatan bas VTL darat ditetapkan ke Singapura menerusi Terminal Bas Larkin Sentral sebagai lokasi turun naik penumpang di Malaysia.


Manakala Terminal Queen Street dijadikan pusat turun naik penumpang di Singapura.


- HMetro 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->