Tidak sampai 12 jam, bapa susuli 'pemergian' anak



Kuala Terengganu: Tidak sampai 12 jam anaknya menghadap Ilahi selepas kereta dipandu terbakar, warga emas menyusuli pemergian anaknya itu apabila menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kampung Wakaf Mempelam, di sini, pagi tadi.


Jaafar Abdullah, 76, disahkan meninggal dunia di rumahnya pada 5.30 pagi dipercayai akibat asma.


Sebelum itu, anaknya, Mohd Azizi, 37, ditemukan rentung selepas kereta dipandunya terbakar di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas di sini semalam.


Ketika kejadian, Allahyarham Mohd Azizi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik memandu Perodua Alza mengiringi bapanya yang dibawa menaiki ambulans untuk pulang ke rumah mereka.


Allahyarham Jaafar sebelum itu dimasukkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu hampir dua minggu lalu kerana penyakit dialaminya.


Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka, kenderaan dipandu Allahyarham Mohd Azizi tiba-tiba terbakar.


Mangsa yang menyedari keretanya terbakar segera memberhentikan kenderaannya di tepi jalan bagi menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap namun gagal.


Pada masa sama, abangnya, Mohd Jasmani, 50, yang menaiki ambulans bersama bapa mereka turut menyaksikan kejadian berkenaan.


Sementara itu, isteri Allahyarham Mohd Azizi, Roslinda Ahmad Ramzi, 32, berkata, arwah suaminya ada menghantar pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.


"Sebaik abang ipar (Mohd Jasmani) tiba bersama ambulans dinaiki bersama arwah bapa mentua, dia maklumkan yang suami sudah tiada kerana keretanya terbakar.


"Pada mulanya, saya memang tak percaya arwah sudah tiada kerana ia berlaku secara tiba-tiba, namun reda dengan pemergian suami, disusuli pula kehilangan bapa mentua pagi ini," katanya.


Roslinda berkata, arwah keluar dari rumah kira-kira 2 petang untuk menguruskan bapa mentua dan sempat menjamah sarapan yang disediakan.


"Arwah tidak menunjukkan banyak perubahan cuma dia nampak tergesa-gesa dan mahu bawa balik bapa mentua dari hospital pada hari yang sama.


"Jika diikutkan, arwah suami bukan seorang yang tergesa-gesa namun sejak beberapa hari ini, semua yang dibuat dilakukan dengan cepat.


"Mungkin arwah suami tidak sanggup tengok ayah di hospital memandangkan bapa mentua pernah berpesan tidak mahu dihantar ke hospital sekiranya dia sakit dan mahu meninggal di rumah," kata ibu kepada tiga anak berusia antara satu tahun hingga 12 tahun itu.


Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Baru Kampung Wakaf Mempelam, di sini, 1.30 tengah hari tadi.


Media sebelum ini melaporkan seorang mekanik rentung selepas kereta dipandunya terbakar di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas di sini, semalam.


- HMetro 

LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->