Bukan halang penghantaran bantuan



Shah Alam: Tindakan pihak berkuasa mengawal jumlah kenderaan masuk ke lokasi banjir bertujuan mengelakkan kesesakan memandang ketika itu operasi menyelamatkan mangsa banjir sedang berjalan.


Tindakan itu bukan bertujuan menghalang badan bukan kerajaan (NGO) atau sukarelawan menghantar bekalan makanan seperti dakwaan yang tular di media sosial.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, ketika kejadian yang ditularkan itu, pasukan penyelamat sedang menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa.


"Semasa kejadian, polis bersama agensi sahabat seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang bertungkus-lumus menyelamatkan dan mengeluarkan mangsa banjir dari kawasan Seri Muda yang ditenggelami air.


"Jadi, hanya sebahagian kenderaan NGO dibenarkan masuk dan kebanyakan kenderaan orang awam tidak dibenarkan masuk dan keluar tanpa kebenaran.


"Ini bertujuan mengelakkan kesesakan dan memberi laluan kepada lori yang keluar masuk membawa mangsa ke pusat penempatan sementara (PPS)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Baharudin berkata, tindakan mengawal kenderaan awam masuk ke lokasi banjir adalah bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk berlaku memandangkan paras air sungai semakin meningkat pada masa itu.


"Polis khuatir kesesakan di lokasi akan menambahkan lagi kemudaratan kepada semua pihak dan menyukarkan lagi proses untuk menyelamatkan nyawa mangsa.


"Keprihatinan semua NGO dan orang awam amatlah dihargai dalam usaha membantu mangsa banjir, bagaimanapun suka diingatkan agar semua pihak tetap mematuhi arahan oleh pihak berkuasa, supaya dapat memudahkan proses menyelamatkan mangsa dilaksanakan," katanya.


Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan segera bagi menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa yang terjejas banjir.


"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bersama-sama membantu JKM menerima dan mengagihkan bantuan," katanya.


Terdahulu, tular rakaman video mendakwa dihalang untuk menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di Taman Seri Muda.


- HMetro 

LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->