Kanak-kanak kes kedua Omicron di Malaysia



Kuala Lumpur: Satu lagi kes varian Omicron dikesan di Malaysia membabitkan jangkitan import dari luar negara, kelmarin.


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikesan varian Omicron di Malaysia sebanyak dua kes.


"Kes baharu dikesan membabitkan seorang kanak-kanak perempuan warganegara Malaysia berusia lapan tahun yang menetap bersama keluarga di Lagos, Nigeria.


"Keputusan ujian RT-PCR (Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) Covid-19 ke atas kes sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif.


"Kes tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember lalu dari Lagos, Nigeria dengan penerbangan transit di Doha, Qatar," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, kanak-kanak dan ahli keluarganya sudah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 ketika ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


"Mereka diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah.


"Bagaimanapun, keputusan ujian RT-PCR kes ketika ketibaan didapati positif Covid- 19 pada 7 Disember lalu.


"Kes tidak mempunyai gejala dan diarahkan menjalani isolasi di rumah selama 14 hari," katanya.


Menurutnya, kontak rapat kepada kes terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa, dan pemandu teksi yang membawa keluarga itu dari KLIA ke tempat kediaman.


"Semua ujian yang dijalankan ke atas ibu dan adik perempuannya iaitu ujian sebelum berlepas ke Malaysia, semasa ketibaan, pada hari kelima dan pada hari ke-11 menunjukkan keputusan negatif.


"Ujian RT-PCR Covid-19 bagi pemandu teksi sedang dijalankan dan ketiga-tiganya tidak bergejala dan diarahkan menjalani arahan kuarantin selama 14 hari.


"Bapa kes pula tiba di Malaysia pada 12 Disember lalu dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta dan ujian RT-PCR bapa kes pada hari ketibaan adalah negatif," katanya.


Khairy berkata, 35 orang kontak dalam penerbangan iaitu empat baris tempat duduk di depan, belakang, sebelah kiri dan kanan turut disahkan negatif melalui ujian RT-PCR Covid-19 ketika ketibaan dan pada hari kelima.


"Pemantauan kes dan kontak yang dikenal pasti dilaksanakan secara menyeluruh dari semasa ke semasa.


"Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah meneruskan siasatan lanjut termasuk siasatan kontak semasa dalam penerbangan.


"Buat masa ini, punca jangkitan kes masih dalam siasatan.


"KKM meneruskan aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 termasuk varian Omicron di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) dan dalam komuniti," katanya.


Menurutnya, sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan varian yang dibimbangi, Omicron pada 24 November, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mula menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas semua sampel positif yang disaring di PMA KLIA sebagai inisiatif tambahan kepada kajian berterusan jujukan genom penuh (WGS).


"KKM ingin memaklumkan IMR menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 52 sampel daripada 52 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang pulang dari luar negara bagi tempoh 6 sehingga 10 Disember lalu.


"Malah, hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan, sebanyak 18 kes lagi menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS) dan keputusan dijangka akan diperolehi pada esok," katanya.


- HMetro 


LAZADA 2.2

LAZADA 2.2

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!

-->